Parlimen Hang Tuah Jaya diharap akan menjadi salah satu kerusi yang melengkapkan cukup bilang bagi Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu pada 20 November ini.
Demikian dinyatakan oleh calon Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu, sepanjang lebih 10 hari berkempen penerimaan pengundi di kawasan parlimen tersebut dikira amat baik dan banyak yang beliau temui menyatakan akan memberi undi untuk PH.
"Di Hang Tuah Jaya saya katakan penerimaan yang sangat baik, majoriti masyarakat ditemui bagi sokongan. Bukan sekadar bagi sokongan akan undi, malah tahun ini rata rata nyatakan komitmen berapa ramai yang mereka akan panggil balik mengundi. Terutama anak anak yang bekerja di luar contoh di Singapura, Kuala Lumpur dan sebagainya.
"Begitu juga saya dilaporkan undi pos yang diterima di luar negara sangat banyak, penuh kotak. Itu tanda yang sangat baik.
"Saya harap Hang Tuah Jaya jadi salah satu kerusi parlimen yang boleh sumbangkan cukup bilang bagi PH tubuhkan kerajaan menjelang 19 November ini," katanya kepada Suara Keadilan ditemui selepas berkempen bersama calon Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya Mohd Rafee Ibrahim, malam tadi.
Ditanya mengenai sama ada terdapat cabaran pada kempen kali ini, Adam berkata, semuanya berjalan lancar di Hang Tuah Jaya.
"Halangan kempen biasa sahaja. Ada orang tak nak ambil risalah. Tetapi tak ada provokasi. Alhamdulillah.
"Di Hang Tuah Jaya aman damai, walau ada satu dua kempen yang menggganggu. Buat cerita palsu dan sebagainya tetapi kita boleh kawal dan hadapi dengan tenang," katanya.
Dalam pada itu, Adam teruja dengan sambutan anak muda di kawasan berkenaan ketika melakukan dialog sama ada di bandar atau kampung kampung.
"Penerimaan anak muda kita buat dialog, lepak dengan budak budak main bola, takraw, keliling kampung. Ada juga satu kumpulan anak muda kita bina sebuah pondok bersama, untuk jadi port anak muda kampung tersebut mengisi masa lapang.
"Kita cuba sebaik baiknya, peluang berkenalan dan bina hubungan, bina ukhwah yang baik," katanya.
Justeru, Adam berharap pengundi pengundi dari luar Hang Tuah Jaya akan balik mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 15 ini bagi mengangkat agenda perubahan yang dibawa PH dan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM Malaysia ke 10.
Comentários