Hampir semua pelajar cemerlang lepasan STPM ditawar ke IPT Awam - Adam Adli
- Akmal Manaf
- 60 minutes ago
- 2 min read

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited mengoptimumkan akses kepada pendidikan tinggi apabila hampir kesemua calon cemerlang lepasan STPM beraliran sastera dan sains dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0, ditawarkan tempat di universiti awam (UA) sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim (gambar) berkata, statistik bagi tempoh lima tahun terkini bermula dari sesi akademik 2021/2022, menunjukkan seramai 648 calon memohon melalui UPUOnline, dan 644 daripadanya berjaya ditawarkan tempat dalam aliran sastera.
Beliau berkata, bagi sesi akademik 2022/2023, seramai 763 calon yang memohon layak dipertimbangkan dan kesemuanya menerima tawaran kemasukan ke universiti awam.
Katanya, bagi sesi 2023/2024 pula, daripada 1,031 calon yang memohon, seramai 1,029 berjaya menerima tawaran, manakala bagi sesi 2024/2025, sebanyak 1,010 permohonan layak dipertimbangkan dan 1,009 calon ditawarkan tempat.
"Bagi sesi akademik 2025/2026, seramai 1,184 calon yang memohon layak dipertimbangkan dan kesemuanya berjaya menerima tawaran kemasukan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang meminta Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah calon STPM serta bilangan calon yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 mengikut aliran bagi tempoh lima tahun lalu.
Yu Hui turut meminta kementerian menjelaskan sama ada kerajaan mempertimbangkan dasar untuk menjamin calon STPM aliran sains yang memperoleh PNGK 4.00 ditawarkan kursus pilihan pertama, kedua atau ketiga melalui sistem UPUOnline.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, pihakya sentiasa memberikan komitmen dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi dioptimumkan.
Ujarnya, melalui UPUOnline, pelajar bebas untuk membuat pilihan bidang yang ingin mereka pelajari di peringkat pendidikan tinggi.
"Namun kejayaan mereka untuk mendapatkan tempat di universiti awam turut tertakluk kepada (beberapa kriteria).
"... (ia seperti) pencapaian akademik, kedudukan merit, memenuhi syarat am dan syarat khusus yang ditetapkan, bilangan tempat yang disediakan, serta lulus temuduga atau ujian bagi program pengajian yang menetapkan keperluan berkenaan," jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, Adam Adli turut memaklumkan bahawa bagi calon lepasan STPM beraliran sains, kesemua 92 calon yang memohon pada sesi akademik 2021/2022 layak dipertimbangkan dan berjaya menerima tawaran kemasukan ke universiti awam.
Bagi sesi akademik 2022/2023 pula, katanya, seramai 114 calon yang memohon layak dipertimbangkan dan 113 daripadanya berjaya menerima tawaran kemasukan ke universiti awam.
"Bagi sesi 2023/2024, kesemua 148 calon yang memohon layak dipertimbangkan dan berjaya ditawarkan tempat.
"Bagi sesi 2024/2025 pula, daripada 97 calon yang memohon, 96 menerima tawaran, manakala bagi sesi 2025/2026, kesemua 71 calon yang memohon layak dipertimbangkan dan berjaya ditawarkan tempat," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
