Halimey anjur majlis Penyerahan Baucar Jom Shopping Aidilfitri
- Redzuan Shamsudin
- Mar 31, 2024
- 2 min read

Penyelaras DUN Taman Medan, Halimey Abu Bakar semalam menganjurkan majlis Penyerahan Baucer Jom Shopping Aidilfitri dan Sumbangan Jelajah Kembali Ke Sekolah MBI di sebuah pasar raya terkemuka di Petaling Jaya.
Beliau yang baharu dilantik sebagai Penyelaras DUN berkata, sumbangan berkenaan merupakan hadiah Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor dan hanya boleh diberikan oleh wakil Kerajaan Negeri. Oleh kerana Taman Medan dimenangi oleh pembangkang pada pilihanraya lalu, katanya, maka beliau sebagai Penyelaras DUN diamanahkan menyampaikan peruntukan.
"Ini adalah hadiah Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat negeri ini termasuk penduduk Taman Medan
"Apa beza 'ADUN 30' (menang dengan 30 undi) Taman Medan dengan penyelaras DUN? ADUN yang ada, Dr Afif dia menang sebanyak 30 undi. Dia ADUN pembangkang, bukan ADUN kerajaan Selangor.
"Untuk pentadbiran, memudah cara, maka Kerajaan Negeri di bawah MB melantik seorang yang dinamakan Penyelaras DUN. Saya Penyelaras DUN yang diwakilkan untuk membantu penduduk
"Dr Afif dia tak ada (peruntukan) dan tidak boleh memberi baucar raya yang dinamakan Iltizam Selangor Penyayang ini kepada rakyat Taman Medan sebab ini program kerajaan Selangor. Makaya saya beri apa yang Kerajaan Negeri bagi," katanya.

Dalam majlis itu juga Halimey memaklumkan bahawa beliau telah diluluskan pejabat baharu di Dataran Anak Muda kawasan perumahan berkenaan menggantikan pejabat sementaranya di Dewan MPPJ PJS1.
Katanya, selepas Aidilfitri pelbagai program sumbangan akan lebih rancak. Beliau mahu penerima sumbangan atau yang layak mendapat inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang agar datang ke pejabatnya
Termasuklah rungutan seperti kad Peduli Sihat yang tidak boleh digunakan yang perlu didaftarkan semula, katanya.
Untuk program Jom Shopping hari itu, kata Halimey, peserta yang menerima baucar boleh berbelanja RM200 untuk kelengkapan hari raya.
"Hari ini kita beri hadiah, kita dah buat sebaran dan Kerajaan Negeri semak, dan kita pastikan mereka ini layak dapat baucar RM200. Hari ini boleh shopping di Mydin," katanya lagi.
留言