Halang tukar kerajaan waktu Covid 19: Pemuda Umno jangan hipokrit - AMK



Saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan hasrat mempersembahkan sokongan majoriti Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong dengan alasan perlunya gencatan senjata politik ketika pandemik Covid 19 dibidas Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia.


Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, alasan Covid 19 tidak relevan memandangkan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan oleh Perikatan Nasional (PN) pandemik Covid telah pun bermula, namun Asyraf tidak pula menegur Umno untuk tidak ikut serta dalam Langkah Sheraton.


"Ketika PN mengambilalih kerajaan pada bulan Mac tahun ini wabak Covid 19 sudah diisytihar sebagai pandemik dan bilangan kes di Malaysia telah pun mencecah dua digit.


"Seharusnya Asyraf tampil menghalang usaha Tan Sri Muhyidin untuk menjatuhkan Kerajaan PH ketika itu kerana PH sedang berusaha mengawal penularan wabak.


"Tetapi Asyraf bukan sahaja gagal mengekang, malah kelu melihat pengkhianatan beberapa Ahli Parlimen yang melompat parti seterusnya menubuhkan kerajaan pintu belakang," katanya dalam satu kenyataan.


Oleh yang demikian, menurut Syed Badli, sangat janggal apabila usaha Anwar untuk membentuk semula kerajaan mandat rakyat mahu dihalang.


Kata Syed Badli lagi, jika PN boleh mengambialih kerajaan tanpa perlu melalui Pilihan Raya Umum (PRU) maka situasi sama juga boleh dilakukan dan tidak melibatkan rakyat atau himpunan umum yang boleh merebakkan Covid 19.


"Kini tugas Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mengambil semula mandat yang dirampas tanpa melalui jalan PRU.


"Tentunya jika Agong memperkenan beliau sebagai Perdana Menteri (PM), pertukaran kerajaan akan berlaku tanpa melibatkan rakyat.


"Justeru itu saya menyeru Asyraf Wajdi untuk tidak bersikap hipokrit seterusnya menyokong usaha untuk mengembalikan mandat tanpa perlu pembubaran Parlimen," katanya lagi.


Untuk rekod, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenankan mengadap Agong pada 13 Oktober depan.


Sekiranya Agong berpuas hati dengan majoriti yang diperolehi Anwar maka peralihan kuasa boleh dilakukan secara mudah sebagaimana Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai PM pada Mac lalu.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio