top of page

Hala tuju baharu PADU diumumkan sebelum Aidilfitri - Akmal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Hala tuju baharu Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bakal diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi memberi kejelasan selepas sistem berkenaan dilihat menyepi agak lama.


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan sedang merangka hala tuju baharu bagi memastikan sistem tersebut dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh, bukan sahaja untuk pelaksanaan bantuan bersasar, malah sebagai asas penting dalam penggubalan dasar negara.


"Setakat ini, sistem ini sudah merekodkan kira-kira 30.7 juta profil, sekali gus menjadikannya antara pangkalan data terbesar yang dimiliki kerajaan.


"PADU adalah sistem yang sangat baik dan mempunyai potensi besar. Ketika ini saya bersama pasukan di Kementerian Ekonomi sedang menilai bagaimana untuk memaksimumkan penggunaannya.


"Saya berharap sebelum Hari Raya (Aidilfitri), kita dapat membuat kenyataan jelas mengenai hala tuju PADU dan bagaimana ia akan dimanfaatkan secara lebih menyeluruh," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian pada sesi ‘Fireside Chat’ dikendalikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli sempena Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026) di Kuala Lumpur pada Khamis.


PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024.


Sistem itu dibangunkan sebagai repositori data nasional bagi membantu kerajaan menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada rakyat serta menyokong pendekatan pentadbiran berteraskan data.


Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, peranan PADU tidak seharusnya terhad kepada pelaksanaan subsidi atau bantuan bersasar semata-mata, sebaliknya perlu menjadi instrumen sokongan utama kerajaan dalam merangka dasar awam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page