Hak Kerajaan Negeri beli vaksin dijamin Perlembagaan Persekutuan


Negeri-negeri di Malaysia perlu dibenarkan untuk membeli bekalan vaksin Covid 19 sendiri bagi mengekang jangkitan yang semakin berleluasa.


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hak negeri-negeri untuk memperolehi vaksin telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dinafikan oleh kerajaan puat.


"Malaysia merupakan sebuah negara Persekutuan. Perlembagaan Malaysia dalam Senarai III, iaitu Senarai Bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan di bawah butiran No 7 telah disenaraikan bahawa kesihatan awam dan pencegahan penyakit adalah dalam kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.


"Oleh yang demikian, saya mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memberi kebenaran kepada Kerajaan-kerajaan Negeri untuk berusaha mendapatkan vaksin untuk rakyat mereka," katanya.


Menurut Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan, Dewan Rakyat itu lagi, pembelian oleh negeri-negeri yang berkemampuan perlu dilakukan memandangkan program suntikan vaksin Kerajaan Persekutuan yang tidak mencapai sasarannya.


"Hal ini perlu atas beberapa sebab mendesak. Pertama Kerajaan Persekutuan yang diperintah oleh Perikatan Nasional terlalu lambat dalam melaksanakan program vaksinasi ke seluruh negara. Dengan kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri, program vaksinasi itu dapat dipercepatkan.


"Sebab kedua kerana jumlah jangkitan kes baharu Covid-19 telah naik dengan mendadaknya dalam beberapa hari. Contohnya, pada 20 Mei 2021 jumlah kes baru direkodkan adalah sebanyak 6,806, melebihi paras enam ribu," kata Hassan lagi.


Menurut beliau, walaupun negara berada di dalam Darurat dan Parlimen digantung tetapi Kerajaan Persekutuan perlu menyedari bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak digantung.


Sehubungan itu, Hassan mendesak sistem monopoli dalam kawalan penawaran vaksin tidak harus dikuasai oleh Kerajaan Persekutuan. Kuasa kerajaan-kerajaan Negeri juga perlu dihormati.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER