Oleh: Abdullah Zaid
Jika sebelum ini Pas dilihat sering mendakwa DAP sebagai parti yang cuba menghapuskan Islam, mereka sewajar perlu melihat semula rakan gabungannya Gerakan yang menolak sekeras-kerasnya Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bakal diajar ke sekolah awam di seluruh negara.
Bagi Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, pendirian tegas oleh Timbalan Menteri Pendidikan Lim Yui Ying yang juga pemimpin DAP mempertahankan modul penghayatan agama Islam tersebut wajar dijadikan contoh.
"Kita jelas dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying yang sedia memberi penjelasan berkaitan kekeliruan yang timbul berkaitan isu ini.
"Walaupun beliau datang daripada DAP tetapi beliau bersedia untuk mempertahankan isu 40 Hadis Imam Nawawi.
"Namun, lain pula bagi pihak sana (Gerakan) yang sekeras-kerasnya menolak walaupun pihak KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) sedia beri penjelasan," kata Onn ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu projek rintis Pelaksanaan Modul 40 Hadis Imam Nawawi melibatkan 289 sekolah menengah yang ditolak Gerakan.
Selain itu, jelasnya, modul hadis yang menerapkan kefahaman agama itu hanya membabitkan pelajar dan guru beragama Islam sahaja, serta bukan sebaliknya.
Justeru, Pas sebagai parti agama seharusnya perlu menjelaskan isu tersebut kepada Gerakan agar imej PN yang memperjuangkan Islam tidak dilihat sekadar ‘berpura-pura’ sahaja.
"Modul Penghayatan 40 Hadis Imam Nawawi dikhususkan kepada pelajar Islam dan tidak membabitkan orang bukan Islam.
"Sebagai satu kapal, Pas perlu ada keberanian untuk menegur dan menjelaskan kepada Gerakan supaya mereka (PN) tidak dilihat berpura-pura dalam hal berkaitan Islam ini," katanya lagi.
Comments