Had umur 16 tahun, eKYC media sosial mampu bendung aktiviti tidak bermoral - Pakar
- Suara Keadilan
- 14 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Kerajaan diharap segera meluluskan undang-undang khusus bagi memastikan tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap pelaku jenayah siber atau aktiviti tidak bermoral di ruang digital bagi melengkapkan peraturan had umur 16 tahun buat remaja menggunakan media sosial.
Pakar undang-undang keluarga dan kanak-kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata langkah kerajaan mengehadkan pembukaan akaun media sosial buat yang berumur bawah 16 tahun adalah tepat dan relevan namun perlu wujud pemantauan yang lebih ketat ke atas syarikat pengendali platform.
"Saya sangat menyokong undang-undang menghadkan umur 16 tahun ke bawah tidak boleh membuka akaun di media sosial.
"Sebelum ini hadnya 13 tahun tetapi umur itu terlalu muda. Umur 16 itu lebih sesuai kerana pada ketika itu sekurang-kurangnya mereka sudah mempunyai tahap pemahaman tertentu.

"Kita tak boleh hanya meletakkan had umur tetapi mesti ada pemantauan yang jitu. Penyedia platform media sosial juga perlu dipertanggungjawabkan sekiranya wujud pendaftaran kanak-kanak, penularan bahan lucah atau eksploitasi seksual melibatkan kanak-kanak," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurutnya, walaupun had usia dikuatkuasakan, aspek penguatkuasaan dan pemantauan perlu diperkukuh oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau menegaskan jika kejadian seumpama itu berlaku di platform tertentu, syarikat penyedia media sosial berkenaan wajar dibawa ke mahkamah.
"Mereka perlu dibawa ke mahkamah dan dikenakan denda. Ini bukan hal kecil, kerana ia melibatkan buli siber, keganasan sosial, eksploitasi seksual dan sebagainya," katanya.
Ujarnya, dasar itu bukan bertujuan menghapuskan sepenuhnya risiko sesuatu yang sukar dicapai, namun sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kes, sambil mendidik masyarakat mengenai risiko penggunaan platform maya.
"Kalau tidak boleh hapus secara total, kita sekurang-kurangnya kurangkan jumlahnya. Dalam masa sama kempen pendidikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak sangat penting supaya mereka faham bahaya dunia maya," katanya.
e-KYC patut telah lama dilaksanakan
Mengulas mengenai pelaksanaan e-KYC, beliau menyatakan ia adalah langkah yang sepatutnya telah lama dilaksanakan terutama bagi membendung aktiviti penipuan kewangan dan identiti.
"Kerajaan difahamkan mahu meluluskan Rang Undang-Undang Jenayah Siber dan pada pandangan saya ia sangat sesuai untuk memantau kegiatan scammer.
"Penipuan atas talian berleluasa, ada pihak menjual barang tapi barang tidak sampai, permintaan bantuan palsu, mengambil kesempatan atas kepercayaan.
"Kadang-kadang mangsa tidak buat laporan sebab jumlahnya kecil, RM12, RM15 atau RM50, tetapi ia tetap satu jenayah," ujarnya lanjut.
Beliau menyeru masyarakat supaya tidak memandang kecil kes-kes sebegitu dan terus membuat laporan polis agar tindakan dapat diambil.
Noor Aziah berharap undang-undang baharu itu mendapat kelulusan Dewan Rakyat agar kerajaan mempunyai kuasa undang-undang yang jelas untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku jenayah siber.
"Saya berharap Dewan Rakyat akan meluluskan undang-undang jenayah siber untuk memastikan semua kegiatan tidak bermoral di ruang siber dapat ditamatkan," katanya menjelaskan undang-undang digital baharu adalah keperluan mendesak dan bukan pilihan jika negara mahu melindungi generasi muda dan membina ekosistem digital lebih sihat dan selamat.





