Gurauan Putin, Anwar gambarkan kemesraan Rusia-Malaysia
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Dalam keadaan geopolitik antarabangsa yang panas, pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Rusia Vladimir Putin di Kremlin, Moscow berlangsung dalam suasana yang penuh mesra dan melambangkan ikatan hubungan dua hala yang kukuh.
Malah kedua-dua pemimpin itu sempat berjenaka hingga mencetuskan suasana lucu apabila Presiden Putin berkongsi mengenai tindak balas gurauan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kunjungannya ke Kremlin.
Kemesraan yang ditampilkan pada sidang bersama kedua-dua pemimpin itu menjadi tumpuan masyarakat di seluruh dunia apabila Putin ‘mengusik’ Anwar dengan bertanyakan siapa yang beliau fikirkan layak duduk di takhta ketiga.
Ia bermula apabila Putin menunjukkan kepada Anwar, Dewan Agung St Andrew yang luas lalu memaklumkan bahawa tiga takhta yang dimaksudkan untuk Tsar, Tsarina serta kerusi ketiga yang tidak dilabel.
Beliau bertanya kepada Anwar untuk siapa takhta yang ketiga itu?
Anwar kemudiannya menjawab, ‘untuk isteri kedua’ hingga ia mengundangkan suasana lucu dalam kalangan anggota delegasi negara, pegawai-pegawai tinggi Rusia serta media antarabangsa.
Kemudian Putin yang secara berseloroh berkata, ‘Itu adalah jawapan daripada seorang Muslim sejati, wakil budaya Islam’.
Namun Anwar menjelaskan sambil tersenyum bahawa beliau hanya mempunyai seorang isteri.
"Saya hanya ada seorang isteri, Presiden. Tetapi saya rasa itu helah, cubaan menguji. Saya kata takhta kanan untuk isteri, kiri untuk isteri kedua. Tetapi kemudian saya sedar ia sebenarnya untuk ibu."
Putin sambil ketawa mengesahkan: "Ya, takhta ketiga adalah untuk ibunya. Pertukaran maklumat selalu berguna."
Suasana ceria itu menutup tirai pertemuan dua hala dengan perbincangan padat mengenai pelbagai bidang kerjasama dengan pembabitan rasmi peringkat tertinggi kedua-dua negara.
Anwar dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Russia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.