Pembinaan universiti awam tidak menggunakan wang daripada parti politik, begitu juga gaji kakitangan di Kementerian Pengajian Tinggi dibayar menggunakan wang rakyat.
Oleh itu, sangat tidak wajar sesebuah parti politik menganjurkan majlis penyerahan surat tawaran ke universiti seolah-olah parti berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan institusi pengajian tinggi.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kedah, Mohammed Firdaus Johari, Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Pelajar Ke Universiti Utara Malaysia yang dianjurkan baru-baru ini sangat tidak bertepatan dengan politik demokrasi yang menegaskan pendidikan sebagai hak asasi setiap rakyat.
"Sekali imbas tiada apa salahnya judul majlis tersebut namun apabila melihat ianya dianjurkan oleh sebuah parti politik dan diadakan di premis utama parti politik tersebut, nurani saya telah mengemukakan satu soalan jujur; apa kaitan parti politik dengan surat tawaran ke universiti?
"Secara spesifiknya, majlis ini telah diadakan pada 7 Oktober 2021, bertempat di Dewan Umno Bahagian Sik dan disempurnakan oleh Ketua Umno Bahagian Datuk Mohd Tajudin Abdullah.
"Hambatan pemikiran berbentuk feudal ini harus dikuburkan. Peluang pendidikan dan tawaran melanjutkan pelajaran adalah nikmat dan peluang untuk setiap rakyat. Pendidikan adalah keperluan asas yang menjadi tanggungjawab kepada setiap kerajaan di dunia ini, dan ini tidaklah bermakna parti yang berada di dalam kerajaan boleh memperlihatkan seolah-olah partinya mendahului kerajaan atau badan autoriti seperti Kementerian atau Pejabat Pendidikan.
"Apa natijahnya menyampaikan surat tawaran secara rasmi menerusi parti politik jika bukan untuk menanamkan pemikiran usang bersifat penjajahan minda terhadap masyarakat, keluarga, ibu bapa, dan bakal pelajar-pelajar, bahawasanya parti itulah yang mencipta dan memberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading?
"Walhal kejayaan ke universiti merupakan hasil usaha bersungguh-sungguh dan ketekunan pelajar-pelajar itu sendiri sewaktu di sekolah menengah mahupun di pusat matrikulasi," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Firdaus, berjaya atau tidaknya seseorang ditawarkan menuntut di universiti tiada kena mengena dengan parti politik dan tidak wajar falsafah pendidikan untuk semua dipesongkan menjadi pendidikan adalah jasa sesebuah parti politik sahaja.
"Jika benar ingin mendukungi aspirasi pendidikan menerusi platform parti atau menerusi ahli politik perseorangan, maka lebih sesuai jika judul majlis tersebut diubah kepada “Majlis Meraikan Bakal-akal Pelajar UUM”. Bukankah lebih afdal dan “political mileage” pun dapat.
"Memetik kata-kata seorang tokoh pemikir pendidikan tersohor dunia, Paulo Freire, “manipulasi adalah seperti penaklukan untuk tujuan yang dilayaninya, dan mencuba membius manusia sehingga mereka tidak dapat berfikir.”
"Fikir dan renungkan hal ini dengan keterbukaan minda dan kerendahan jiwa. Semoga perkara sebegini tidak terus berlaku tanpa mengira parti manapun yang sedang atau kelak bakal menjadi komponen dalam kerajaan," katanya lagi.
Commenti