Guna dana KWSP kukuh ringgit: Tidak benar, hanya spekulasi - Kamil
- Suara Keadilan
- Mar 14, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Dakwaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kononnya digunakan untuk mengukuhkan nilai ringgit dalam beberapa hari kebelakangan ini hanyalah spekulasi semata mata.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim menafikan dakwaan pengukuhan ringgit sejak minggu lalu itu berlaku hasil arahan kerajaan agar KWSP menggunakan dana di bawah agensi berkenaan membeli ringgit.
Katanya, dakwaan yang digerakkan oleh beberapa pengkritik kerajaan itu hanyalah sekadar mainan spekulasi demi menimbulkan kegusaran dalam kalangan pemain ekonomi dan orang ramai.
"Tidak timbul isu sama ada kerajaan gunakan kewangan dan aset KWSP. Ini sekadar spekulasi yang diada-adakan," katanya kepada Suara Keadilan.
Tambah Kamil, pengukuhan nilai ringgit menepati jangkaan institusi kewangan dan pakar ekonomi sejak beberapa bulan lalu yang menjangkakan ringgit akan pulih pada 2024 berdasarkan nilai pelaburan ratusan bilion yang diterima negara daripada pelaburan langsung asing (FDI) ketika ini.
"Ia juga disokong dengan permintaan ringgit yang bertambah, meskipun kita menyaksikan ringgit sedikit menjunam beberapa minggu yang lalu.
"Namun ia bukanlah kayu ukur utama terhadap prestasi ekonomi keseluruhan. Perlu lihat juga kepada petunjuk yang lain," katanya lagi.
Kelmarin tokoh wartawan, Datuk A kadir Jasin dalam tulisannya mempersoalkan sama ada pengukuhan ringgit kepada RM4.42 berbanding dolar Amerika Syarikat berlaku ekoran pembelian ringgit boleh badan persaraan itu.
Hal itu, katanya, akan memberi kesan buruk kepada simpanan persaraan pencarum sekiranya diteruskan.
Comments