
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Klebang, Gue Teck melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Terdapat 9 perkara yang akan diusahakan jika beliau menang pada 20 November ini.
“Membantu anak muda mendapat peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan, membantu peniaga kecil dan sederhana yang terkesan pada pandemik Covid-19.
“Membantu dan melatih anak muda dan suri rumah untuk menjana pendapatan, mewujudkan platform gerai e-dagang, mewujudkan peluang perkembangan industri kampung,” katanya dalam sidang media hari ini.
Pada masa sama, beliau mahu membantu pengusaha pertanian di kawasan pertanian Klebang serta menyempurnakan sistem saliran secara menyeluruh.
Katanya, bantahan terhadap projek tambakan laut yang telah menjejaskan pendapatan nelayan di tepi pantai juga akan diteliti.
“Saya juga mengusulkan PBT mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah untuk meringankan bebanan penghuni rumah pangsa kos rendah
“Malah, saya akan mengusulkan PBT atau IWK mengambil alih penyelenggaraan sistem pembentungan rumah awam dan rumah pangsa lama,” katanya.
Dalam pada itu, Gue Teck juga akan menyertai program debat yang akan diadakan secara maya, Ahad ini, jam 9 malam.