
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didesak mengambil pendekatan lebih serius untuk menjayakan visi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membersihkan dan mengindahkan gerai di ibu kota.
Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) menyatakan rasa kurang berpuas hati apabila DBKL mendakwa mereka belum berjumpa dengan wakil gabungan itu untuk perbincangan lanjut mengenai usaha tersebut.
"Saya sudah menghantar surat kepada DBKL untuk mengaturkan pertemuan dengan datuk bandar tetapi sehingga kini belum ada balasan.
"DBKL tidak boleh bekerja secara bersendirian. Kami sedia untuk bekerjasama," kata Ketua Penerangannya, Dr Ammar Hassan seperti dilapor Berita Harian.
Disember lalu, Anwar menegaskan Kuala Lumpur tidak sahaja harus kelihatan indah dengan bangunan dan gedung besar diberi keutamaan namun golongan penjaja dan peniaga kecil juga harus mendapat hak dan keselesaan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
Susulan itu beliau memberi tempoh tiga bulan kepada DBKL untuk mengemuka cadangan mengindahkan gerai penjaja di bandar raya ini.
"Saya mencadangkan supaya pertandingan kebersihan dapat dilakukan di antara gerai di ibu kota. Bagi merealisasikan kedua-dua cadangan ini, satu perbincangan bersama DBKL perlu dilakukan bagi menunaikan hasrat Perdana Menteri," kata Ammar ketika mengulas gesaan Perdana Menteri itu.
Beliau turut memaklumkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan kunjungan hormat bagi membincangkan masalah yang dihadapi penjaja kecil.
"Saya yakin Perdana Menteri juga sama macam kita. Beliau tidak kekok untuk makan di warung ataupun gerai," katanya.