Gerakkan sejuta sukarelawan perangi Covid 19 - PPPKAM



Perang melawan pandemik Covid 19 tidak akan berjaya tanpa penglibatan secara langsung rakyat Malaysia dalam kempen kesedaran besar-besaran melawan virus berkenaan.


Menyedari situasi itu, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menyeru agar rakyat berganding bahu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjadi sukarelawan melaksanakan kempen di peringkat komuniti.


Menurut presiden PPPKAM, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, biar pun skor Malaysia agak baik dalam melawan pandemik Covid, di tempat ke 16, namun peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini mewajarkan rakyat untuk bersama-sama kerajaan menggandakan usaha melawan Covid 19.


"Meskipun ianya (skor Malaysia) boleh dianggap pencapaian membanggakan, namun dengan situasi semasa Covid yang kini meragut lebih 730 nyawa dan mencatatkan kes kumulatif melebihi 200,000 boleh dianggap membimbangkan.


"Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Kesihatan Awam berpendapat Kerajaan harus melakukan perubahan strategi bagi merencatkan penularan wabak ini," katanya dalam satu kenyataan.


Bagi Dr Zainal, pendekatan yang digunakan masa kini dilihat agak ketinggalan, terutama apabila hanya memberikan tumpuan terhadap jumlah kes dan rawatan, sedangkan kes sudah berada dalam komuniti.


Begitu juga kaedah pengambilan sampel Covid-19 yang tidak menyeluruh dalam komuniti, pengesanan kontak lemah, kurangnya kawalan dan pemantauan ke atas kilang-kilang yang menyumbang kluster besar Covid 19 dan difinisi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah tidak dipraktikan sepenuhnya.


Menurutnya, jangkitan Covid yang sukar dibendung hari ini mungkin disebabkan keletihan atau kekurangan petugas barisan hadapan akibat terlalu banyak kes aktif.


Dalam pengalaman beliau, selaku Presiden PPPKAM yang pernah menjadi konsultan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Program Pencegahan NCD di Vietnam, sekarang adalah masa terbaik untuk melibatkan sukarelawan bagi membantu komuniti walaupun bukan melibatkan teknikal atau kepakaran dalam bidang Kesihatan Awam.


"PPPKAM mengambil contoh di Thailand dan Vietnam, Primary Healthcare mereka dikuatkan dengan penglibatan komuniti, pemimpin dan klinik-klinik di peringkat Sub-Bandar dan Kawasan Luar Bandar.


"Mengikut kajian, masyarakat mereka telah memulakan konsep ini seawalnya, untuk berada dalam keadaan sudah bersedia bagi membantu memutuskan rantai wabak berbanding di Malaysia yang hanya menumpukan kepada rawatan dan ujian dan jika sekiranya kes semakin meningkat, ianya akan melemahkan institusi kesihatan untuk terus memutuskan rantaian wabak.


"Justeru, bagi membantu Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia, PPPKAM telah menggerakan Pasukan Sukarelawan Komuniti dan Kesihatan Awam di seluruh negara; serta memerlukan sekurang-kurangya satu juta sukarelawan nonmedical dalam negara bagi melakukan kerja-kerja mudah seperti pengesanan kontak, pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pelbagai lokaliti dan penyampaian maklumat kesihatan bagi mengurangkan bebanan terhadap petugas Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya lagi.


Selain penyertaan individu biasa, kata Dr Zainal, sukarelawan daripada KKM sendiri seperti daripada Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) juga boleh dioptimakan yang mana kesemua mereka boleh bertugas di mana-mana sahaja melalui Latihan Khas yang disediakan oleh PPPKAM.


Sukarelawan akan memainkan peranan dalam komuniti, tempat kerja dan sektor ekonomi bagi memastikan pematuhan SOP, membantu KKM dalam pengesanan kontak, untuk mengurangkan bebanan tugas KKM.


"PPPKAM mengunjurkan bahawa, Sukarelawan Komuniti ini perlu ada di setiap lokaliti di bandar dan desa yang akan dilatih dengan modul khusus oleh pihak yang berautoriti dan diberi dokongan serta punca kuasa oleh Kerajaan.


"Bagi permulaan Fasa 1, gerakan sukarelawan ini bersasar dalam anggaran Sejuta Sukarelawan diperlukan untuk menampung 32 juta penduduk dengan nisbah 1:32 orang yang digerakan melalui komuniti di peringkat negeri, kawasan, daerah, bahagian dan sehingga ke akar umbi.


"Sukarelawan Komuniti dan Kesihatan Awam ini adalah entiti yang berbeza dengan agensi-agensi kerajaan yang sedia ada kerana mereka sudah mempunyai beban tugas yang besar pada masa ini. Walau bagaimanapun, penglibatan sukarelawan akan melengkap dan membantu melalui perkhidmatan sukarela untuk agensi kerajaan kelak," katanya.


PPPKAM berharap, sebagai rakyat dan pemastautin di Malaysia, orang ramai akan sama-sama berganding bahu, bertanggungjawab dan menjaga komuniti agar mematuhi, mengikut peraturan dan mengamalkan manual 'hidup bersama virus' supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan dengan jayanya.


Untuk kempen kesedaran dan mendapatkan ahli, rakyat Malaysia boleh melayari: www.1jutasukarelawan.org

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
5304
64
8163
Total
657,508
3908
580,276

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
347,342
9,422
391,535
Total
176,420,883
3,811,183
158,674,643

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER