top of page

Gerakkan Biro OKU KEADILAN mulai sekarang

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Salah satu yang menarik perhatian dalam perbahasan para perwakilan dalam Kongres Nasional KEADILAN 2026 berakhir semalam adalah cadangan menggerakkan secara optimum Biro Orang Kurang Upaya (OKU) di semua cabang KEADILAN.


Cabang yang masih belum mempunyai Biro Orang Kurang Upaya (OKU) harus segera menubuhkan dan menggerakkan biro berkenaan demi penyertaan lebih banyak OKU untuk dilibatkan dalam gerak kerja parti.


Pembahas OKU, Senator Isaiah Jacob (gambar) berkata langkah itu penting memandangkan ketika ini hanya 63 daripada 222 cabang KEADILAN mempunyai Biro OKU, sedangkan jumlah golongan OKU yang berdaftar di seluruh negara menunjukkan potensi besar untuk mereka terlibat secara aktif dalam politik.


"Sehingga hari ini hanya 63 cabang sahaja wujudkan Biro OKU daripada keseluruhan 222. Kalau kita wujudkan di setiap cabang, kita sudah ada anggota dan pengundi kita.


"Sebab itu saya mahu biro-biro ini digerakkan mulai sekarang," kata beliau ketika membahaskan usul pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, di sini Sabtu lalu.


Beliau berkata berdasarkan statistik sehingga 31 Julai 2026, seramai 856,169 OKU berdaftar, dengan 621,809 atau 73 peratus daripada jumlah itu layak mengundi.


Katanya, angka tersebut membuktikan komuniti OKU bukan kelompok kecil yang boleh diketepikan, sebaliknya mempunyai peranan penting dalam masyarakat termasuk sebagai anggota parti, pengundi dan bakal pemimpin.


Menurut Isaiah, penubuhan Biro OKU di setiap cabang perlu disusuli dengan gerak kerja sebenar, termasuk usaha merekrut anggota OKU, menyantuni mereka dari rumah ke rumah serta membina kepimpinan daripada komuniti berkenaan.


"Apabila kita mendapat 20 anggota OKU sebagai anggota KEADILAN mulai bulan ini, kita akan wujudkan ranting OKU.


"Daripada ranting ini kita akan jalankan aktiviti untuk ahli-ahli KEADILAN. Kita akan menyantuni, kita akan turun ke rumah-rumah dan kita latih mereka mereka untuk menjadi pemimpin satu hari nanti," katanya.


Beliau berkata KEADILAN perlu melihat agenda OKU sebagai sebahagian daripada perjuangan reformasi, bukannya sekadar usaha untuk menunjukkan parti itu inklusif.


"Kalau KEADILAN benar-benar mahu menjadi rumah kepada semua rakyat, rumah ini mesti mempunyai ruang untuk insan istimewa. Bukan di belakang, bukan di tepi, tetapi bersama-sama di hadapan.


"Insan istimewa bukan beban reformasi. Insan istimewa adalah nadi reformasi," katanya.


Dalam masa sama, Isaiah turut menggesa semua cabang memastikan pejabat parti dan pusat khidmat wakil rakyat mempunyai kemudahan akses yang sesuai untuk golongan OKU, khususnya pengguna kerusi roda.


Katanya, masih terdapat cabang yang tidak menyediakan aksesibiliti kepada OKU, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan khidmat daripada wakil rakyat atau pimpinan parti.


"Saya mohon memastikan aksesibiliti mesti diwujudkan serta-merta. Ini tanggungjawab setiap cabang. Kami adalah warga Malaysia. Kami ada hak kami. Aksesibiliti adalah satu kemudahan wajib disediakan," katanya.


Beliau berkata golongan OKU juga tidak mahu dilihat berdasarkan kekurangan fizikal semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan, idea dan keberanian untuk memimpin.


"Jangan lihat kerusi roda sebelum melihat kebolehan. Jangan lihat tongkat putih sebelum melihat kecerdasan. Jangan lihat kekurangan pendengaran sebelum memandang idea.


"Kadangkala bukan kita yang kurang kemampuan, tetapi sistem yang kurang memberi perhatian," katanya.


Dalam pada itu Isaiah menghargai usaha Kerajaan MADANI menaikkan elaun pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daripada RM150 kepada RM300 pada 2024, selain berharap sokongan kepada pelajar pendidikan khas terus ditingkatkan.


Beliau menegaskan komuniti OKU tidak menuntut simpati, sebaliknya mahu hak mereka diberikan serta peluang untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam parti dan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page