Gerakan Reformasi 27 tahun, simbol perjuangan tegakkan keadilan
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan, mengimbau kembali detik bersejarah pelancaran Gerakan Reformasi Rakyat pada 6 September 1998, yang menjadi titik tolak perubahan landskap politik negara hingga melahirkan Kerajaan Madani hari ini.
Menurut beliau, gerakan itu lahir susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan diaibkan dengan pelbagai pertuduhan yang direka rekayasa, kemudiannya, mencetuskan gelombang penentangan rakyat terhadap ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa.
"Premisnya, jika tokoh yang pernah berperanan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia boleh diaibkan dan dizalimi sebegitu rupa, bagaimana pula dengan nasib rakyat terbanyak pada ketika itu," kata Dr Zulkifli dalam muat naik di media sosial.
Gerakan Reformasi Rakyat, katanya, dilancarkan di Pusat Latihan ABIM (kini Kolej Dar al-Hikmah) oleh empat pertubuhan utama, iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Sorakan keramat “Reformasi” buat pertama kali dilaungkan oleh Almarhum Prof Dr Saharuddin Badaruddin, ketika itu Setiausaha Agung ABIM.
Namun, hanya dua minggu selepas itu, beliau bersama tiga pimpinan utama ABIM iaitu Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, Almarhum Ustaz Mokhtar Redzuan dan Cikgu Ab Halim Ismail ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Gerakan ini kemudiannya disertai ramai pihak dari pelbagai lapisan masyarakat.
"20 September kekal sebagai tarikh keramat - simbol perjuangan Reformasi yang berjaya mengubah politik negara hingga melahirkan Kerajaan MADANI hari ini, 27 tahun kemudiannya," ujar Dr Zulkifli lagi.
Comments