Percubaan calon calon Bebas dari Gerak Independent (GI) untuk bertanding di kerusi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 menimbulkan kesangsian berkenaan tujuan sebenar perjuangan mereka.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, tokoh tokoh GI yang selama ini sering mengkritik kerajaan BN dan PN seharusnya menentang dua perikatan tersebut dalam pilihan raya, bukannya PH.
"Daripada cuba ‘menggoncangkan’ kerusi PH, calon bebas sepatutnya pergi ke kubu kuat BN.
“Saya beranggapan mereka (GI) bukan penyokong BN, jadi mengapa mereka mengganggu kerusi PH dan bukannya menyasarkan kawasan BN seperti Pekan atau Bagan Datuk?
“Adakah mereka benar-benar bebas? Keputusan mereka ini hanya akan dilihat sebagai berkerja dalam kumpulan (bersekongkol) dengan BN,” katanya dipetik The Vibes.
Tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, sekiranya GI bertanding di kerusi BN yang sering mereka kritik prestasi menteri di beberapa kementerian, maka rakyat akan lebih menghargai usaha tersebut berbanding kerusi PH yang bukannya sebahagian daripada kerajaan
Malah, kata Shamsul, PH terbuka untuk untuk berkerjasama dengan kumpulan atau parti lain yang berkongsi agenda reformasi dalam konsep "khemah besar"
Mengulas isu sama, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Jimmy Puah pula berkata walaupun calon GI mempunyai hak untuk bertanding di mana-mana kerusi, namun beliau ragu dengan alasan gerakan itu mahu bertanding di kerusi PH
"Saya pastinya tidak bersetuju dengan dakwaan mereka bahawa mereka telah menyasarkan kerusi kami, kerana kerusi itu berada di kawasan yang kurang berprestasi," katanya.
GI membariskan calon seperti peguam Siti Kasim, Mohd Tawfik Ismail dan KJ John yang bakal bertanding pada PRU15, seperti yang diumumkan pada sidang media mereka, 17 Februari lalu.
Manakala kerusi yang diintai oleh GI ialah Batu, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Subang dan Kota Kinabalu.
Comments