Kekuatan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia perlu digerakkan sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dijangka akan diadakan pada hujung tahun ini selepas pembentangan Belanjawan 2023.
Menurut Setiausaha AMK Pusat, Omar Mokhtar A Manap, kekuatan jentera tersebut hanya boleh digembeleng dengan lantikan pimpinan peringkat negeri yang berkualiti serta diterima dalam kalangan AMK.
"Elemen paling penting yang menjayakan sesuatu gerakan bermula dari pengukuhan struktur pentadbiran sesuatu organisasi
"AMK selepas selesai pelantikan di peringkat pusat, fokus melancarkan gerak kerja di peringkat negeri dengan pelantikan Ketua-ketua AMK Negeri.
"Proses ini berjalan cukup tertib selaras dengan Peraturan Tetap Angkatan Muda. Walaupun pelantikan Ketua AMK Negeri adalah kuasa prerogatif ketua, namun tentunya lebih elok jika dibawa berbincang dan setiap pimpinan akar umbi dapat menyuarakan pandangan serta sokongan terhadap pilihan mereka.
"Bertitik tolak dari itu, saudara Adam Adli, Kamil Munim dan delegasi hadir ke setiap negeri bagi bertemu dan berunding mendapatkan pandangan sosok manakah yang sesuai diangkat bagi mengetuai AMK di setiap negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Omar lagi, sebaik sahaja lantikan dibuat maka tugas seterusnya adalah untuk negeri melengkapkan struktur mereka.
Dalam proses tersebut, ujar beliau, terdapat pihak yang tidak selesa apabila pilihan mereka tidak terpilih mengetuai negeri.
Namun, katanya keputusan telah dibuat atas beberapa pertimbangan terutama mengambil kira saat genting mendepani PRU 15,
"Pemimpin perlu melihat sesuatu perkara dari kerangka besar. Fokus kita tidak boleh terpesong dari memberi penekanan mengangkat agenda rakyat dan negara serta mempersiap kekuatan jentera menghadapi pilihan raya," katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin dengan latar belakang Ketua-Ketua AMK Negeri yang pelbagai dan punya kelebihan serta kemampuan masing-masing, ditambah sokongan Ketua-Ketua AMK setiap cabang, hasrat untuk memenangi PRU15 boleh diusahakan.
Bagi Setiausaha AMK itu, kesepaduan untuk menggempur BN atau PN amat penting. Tanpa kemantapan itu, katanya, parti akan mengulangi keputusan buruk dalam Pilihan Raya Negeri Melaka atau Johor yang menyaksikan KEADILAN kekal menjadi pembangkang.
"Teman-teman teruskan kerja kuat. Apa yang sedang kita lakukan ini untuk rakyat dan negara. Tidak mampu kita tahan lagi melihat kebobrokan di depan mata dengan kerakusan pimpinan kerajaan hari ini yang hanya fikirkan soal kuasa dan tembolok mereka. Ini masa untuk kita bertindak.
"Perkukuhkan kesatuan, garap kepelbagaian, raikan perbezaan dan berdiri dengan tekad serta suara demi rakyat dan negara, teruskan menangi hati rakyat," katanya lagi.
Comments