Garis panduan baharu pusat penjagaan di Selangor mudahkan operator
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor bakal melancarkan garis panduan baharu yang lebih sistematik bagi pusat penjagaan termasuk taska.
Exco Kebajikan Negeri Anfaal Saari (gambar) berkata, garis panduan tersebut memberi penekanan kepada aspek keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak. Ia akan diguna pakai di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
"Isu ini mula dibawa oleh ADUN Subang Jaya, Michelle Ng pada Julai tahun lalu. Selepas perbincangan selama setahun, draf pertama garis panduan ini dibentang Ogos lalu dan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Kini sedang tunggu keputusan penasihat undang-undang negeri yang dijangka selewatnya hujung September. Apabila selesai semuanya, garis panduan ini dijangka dilancar Oktober nanti," katanya dipetik.
Menurut Anfaal, garis panduan baharu itu juga dirangka agar memudahkan proses permohonan pusat penjagaan.
"Garis panduan ini meliputi ulasan bomba contohnya tangga, syarat peletakan tiang bendera dan pelan setara yang bermaksud mewujudkan jawatankuasa khas peringkat PBT.
"Dengan sistem ini, operator hanya perlu menghantar dokumen sekali sahaja berbanding sebelum ini yang memerlukan mereka berurusan dengan banyak jabatan," jelasnya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pusat Jagaan termasuk Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska).
Jawatankuasa itu bagi memudahkan cara operator yang kini berdepan kelulusan pendaftaran termasuk syarat berbeza di 12 pihak berkuasa tempatan di Selangor.
Comments