top of page

Ganding baru hentikan penyebaran isu negatif - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 15
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar berganding bahu untuk sama-sama menghentikan penyebaran isu negatif yang telah melanda negara sejak kebelakangan ini.


Beliau berkata, mutakhir ini timbul beberapa unsur negatif yang dibangkitkan seperti isu ketegangan kaum, kecelaruan akibat rendah akal budi, budaya buli di sekolah dan juga isu-isu kematian yang meragut beberapa nyawa pelajar.


"Tentu yang menggusarkan harus ada kesepakatan kita, bukan sahaja dalam kalangan badan-badan penguatkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi keseluruhannya.


"Ibu bapa, pendidik, rakyat keseluruhannya untuk menyatakan (bahawa) amalan ini yang merosakkan dan melemahkan sendi negara mesti dihentikan.


"Tak mungkin selesai hanya dengan pengumuman dasar, atau penguatkuasaan, tetapi ia mesti bangkit daripada kesedaran rakyat bahawa negara yang memacu pertumbuhan ekonomi yang menyegarkan tidak dapat bertahan kalau tonggak daripada segi nilai dan budaya itu kian luntur," katanya.


Anwar berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-20 yang disempurnakan oleh beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.


Anwar berkata, dalam negara MADANI, selain memacu pertumbuhan yang segar dan rancak, tonggaknya turut menekankan aspek nilai.


"Apakah kita nak bangga hanya dengan jumlah pelaburan dan pemacuan pertumbuhan ekonomi dan kesegaran dari segi bursa?


"Tetapi budaya masyarakatnya (seperti) akhlak dan nilai kian pudar dan luntur. Sebab itu rakan-rakan Jemaah Menteri tadi berbincang panjang.


"Ia harus ditentukan antara kebebasan yang menjadi dasar negara ini (dan) demokrasi yang menjadi tonggak dalam sistem pemerintahan negara.


"Dengan sikap melampau, ketelanjuran, keangkuhan, kebiadaban, sikap merendahkan darjat orang berdasarkan kaum, atau keturunan, atau warna kulit atau apa saja hal ini, wajib dihentikan dan seluruh kekuatan mesti gerakkan ke arah perkara itu," tegas Anwar yang juga Presiden KEADILAN.


Turut hadir dalam majlis petang tadi ialah menteri menteri Kerajaan Persekutuan dan para pegawai tinggi perkhidmatan awam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page