Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu lebih proaktif dalam memastikan 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura boleh menunaikan tanggungjawab dengan sempurna mengundi secara pos.
Ahli Parlimen Petang Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di tengah-tengah lonjakan Covid 19 varian Omicron menjadi proses yang amat mencabar kepada pengundi.
Katanya, pengundian secara fizikal di Johor mungkin bukan pilihan pekerja di Singapura kerana terpaksa mengambil cuti untuk dikuarantin sebelum membuang undi di tanah air.
"Syarat kuarantin untuk pelancong luar negara mungkin menghalang ramai pengundi daripada pulang kerana mereka mungkin perlu mengambil cuti sekurang-kurangnya seminggu atau lebih hanya untuk mematuhi SOP tersebut.
"Pada masa-masa seperti ini, kita harus praktikal, munasabah dan akomodatif terhadap semua pengundi yang layak.
"Oleh itu, SPR amat digalakkan mengunakan pengundian pos sebagai alternatif kepada pengundi melaksanakan hak dan kewajiban sivik mereka, dengan membuka sekurang-kurangnya 5 pusat pengumpulan undi di luar Malaysia untuk pengundi luar negara membuang undi," katanya.
Melalui kaedah itu, kata Maria, pengundi luar negara lebih mudah membuang undi dan kemudiannya kertas undi itu akan dibawa di dalam beg diplomatik ke pusat pusat pengiraan undi di Johor.
"Terdapat beribu-ribu rakyat Johor yang akan mendapat manfaat daripada kaedah ini kerana mereka masih boleh menjalankan tugas mengundi semasa berada di seberang Tambak," katanya.
Selain itu, Maria juga mahu media arus perdana di Malaysia membuka ruang seluasnya untuk semua calon berkempen melalui medium berkenaan sepanjang PRN.
Penganjuran kempen terhad kepada pengundi dengan kaedah tertentu juga, katanya, perlu dibenarkan kepada calon calon yang bertanding.
"Mengundi tanpa mengetahui siapa calon atau parti mana yang bertanding akan menjadi satu tindakan yang sia-sia. Setiap pengundi berhak dimaklumkan tentang latar belakang calon, rekod prestasi dan manifesto, untuk menjadikan undian mereka bermakna.
"Saya mencadangkan SPR, dengan persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN), membenarkan perhimpunan kecil tidak lebih 30 individu pada satu-satu masa, untuk calon bertemu rakyat di kawasan mereka. Semua calon yang menganjurkan himpunan tersebut hendaklah mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Saya juga amat percaya semua calon dan parti yang bertanding dalam PRN Johor perlu diberi akses dan liputan media yang sama sepanjang tempoh kempen. Tidak boleh ada sebarang sekatan atau keutamaan terpilih tentang siapa yang boleh menggunakan saluran media yang dibiayai awam seperti televisyen, radio, akhbar dan laman web rasmi," katanya.
Tegas bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu, kesejahteraan rakyat di negeri Johor untuk 5 tahun akan datang bergantung kepada bagaimana PRN diurus dan dikendalikan.
Beliau berharap rakyat Johor akan membuat pilihan bijak dan mengundi kerajaan yang adil dan saksama.
Bình luận