Gabungan longgar PN: Rakyat tolak politik bersifat eksklusif, perkauman - Bryan Ng
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Rakyat Malaysia kini semakin menolak politik perkauman dan retorik, sebaliknya menuntut parti yang serius dalam memperjuangkan keadilan sosial, pembangunan ekonomi, tadbir urus yang baik dan berintegriti.
Itu pandangan dikemukakan Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin ketika diminta mengulas gabungan longgar Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk baru baru ini.
Menurut Bryan Ng, politik yang memainkan sentimen semua kaum, agama sempit hanya akan menimbulkan persoalan apakah gabungan itu akan mampu memerintah negara secara relevan dalam konteks Malaysia moden.
Katanya, PN mungkin mahu menyesuaikan diri dengan imej berbilang kaum berbanding sebelum ini fokus kepada Melayu, namun dengan mengundang tokoh tokoh 'garis keras' dari kaum lain akan tetap menimbulkan persoalan terhadap nilai kesederhanaan gabungan itu.

''Dengan perkembangan teknologi, media sosial, dan capaian maklumat yang lebih luas, rakyat kini lebih intelektual dan mampu menilai isu-isu semasa berdasarkan fakta dan bukannya retorik perkauman semata-mata.
''Kempen politik berasaskan ketakutan terhadap kaum lain yang pernah berjaya pada dekad-dekad lalu, kini semakin dipersoalkan oleh generasi muda.
''PN mungkin menyedari hakikat ini, lalu cuba 'menyelamatkan imej' dengan menampilkan tokoh bukan Melayu.
''Namun, usaha berkenaan sukar menghapuskan persepsi bahawa mereka adalah gabungan politik yang bersifat eksklusif. Pas sendiri masih konsisten dengan retorik konservatif,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Justeru kata beliau, strategi PN yang menggunakan wajah bekas pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy dan bekas pemimpin DAP, P Ramasamy mungkin hanya berkesan untuk sementara, bagaimanapun tidak cukup untuk mengubah persepsi terhadap mereka sebagai sebuah gabungan berasaskan eksklusiviti.
Sebelum ini, sebanyak 12 parti pembangkang dilaporkan bersetuju menubuhkan sebuah gabungan longgar bagi memperjuangkan isu rakyat yang kononnya gagal ditangani Kerajaan MADANI.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kesepakatan telah dicapai, nama rasmi bagi gabungan tersebut hanya akan diumumkan dalam mesyuarat akan datang.
Gabungan tersebut membabitkan Bersatu, Pas, Gerakan, Pejuang, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Turut serta adalah Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan sebuah organisasi yang belum berdaftar secara rasmi iaitu Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).