Gabungan Besar atau Grand Coalition yang dicadangkan dibentuk mengumpulkan parti-parti pembangkang tidak akan mengetepikan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Gabungan Besar yang menjadi topik perbincangan hangat sejak kebelakangan ini sekiranya menjadi kenyataan akan menempatkan PH sebagai pemimpin parti-parti pembangkang lain, bukan sebaliknya tokoh-tokoh di luar PH diberi kesempatan menjadi ketua.
"Apa dia gabungan besar? Tidak ada niat buang dan ketepi Anwar seperti difitnahkan hari-hari.
"Gabungan besar itu kita cadang PH jadi tunggak, bukan orang lain memimpin. Jelas perjanjian dalam PH masih utuh, pemimpin PH masih Anwar," katanya ketika berucap merasmikan konvensyen Pemuda Amanah di Melaka, hari ini.
Menurut Salahuddin lagi, Amanah sebagai salah satu parti komponen dalam PH kekal dengan konsensus awal bahawa Anwar diberi tanggungjawab dan kebebasan untuk mengembalikan kerajaan PH di Putrajaya, secara mencari bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi atau berkerjasama dengan mana-mana organisasi politik dengan syarat-syarat tertentu.
“Majlis Presiden izinkan Anwar teroka jumlah daripada kumpulan dan parti lain yang dirasakan munasabah dengan parameter, bukan satu cek kosong.
“(Kebebasan itu diberi) dengan parameter yang kita boleh tanggungjawab bersama, kalau boleh ambil kerajaan.
“Kerana kita akan hadapi pilihan raya umum ke-15, apa akan kita jawab kepada rakyat,” katanya dipetik.
Penegasan Salahuddin mungkin membawa pencerahan kepada senario ketidaktentuan ikatan PH dalam dua minggu ini, sejak Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan bersama mengenai masa hadapan gabungan itu, serta reset politik pembangkang.
Commentaires