
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh secara rasminya telah dilantik sebagai Ketua Wanita KEADILAN baharu berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat hari ini yang dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis menerusi akaun Facebook miliknya.

Sebelum ini, Fuziah pernah bertanding jawatan tersebut pada Pemilihan KEADILAN 2018 namun tewas kepada ADUN Lembah Jaya, Haniza Talha.
Namun, Haniza digantung setelah didapati bersekongkol dengan Azmin Ali untuk menjayakan Langkah Sheraton bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dan akhirnya dipecat pada 29 Jun lalu.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Rodziah Ismail berkata kehilangan pucuk pimpinan Wanita KEADILAN secara tiba-tiba menjadi salah satu sebab mengapa MPP bersetuju untuk membuat pelantikan baharu tanpa perlu dipilih melalui proses Pemilihan KEADILAN.
Pelantikan Fuziah juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Regenerasi Masa Depan Wanita KEADILAN bagi mengukuhkan sayap wanita sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.