FTIS: Selangor imbangi kemajuan, tradisi pengajian Islam - Amirudin
- Suara Keadilan

- Jul 13
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited memastikan pembangunan negeri itu tidak hanya tertumpu kepada kemajuan material, sebaliknya turut seiring dengan pengukuhan tradisi ilmu pengajian Islam.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FTIS) merupakan antara usaha Kerajaan Negeri bagi mengimbangi nikmat kemajuan dengan warisan ilmu Islam yang semakin terhakis dalam kehidupan.
Penganjuran FTIS juga bertujuan menggerakkan hati umat Islam khususnya di Selangor, untuk lebih rapat dengan al-Quran dan Rasulullah SAW.
"Dengan apa yang cuba kita bawa ini, seolah-olah satu ironi. Selangor adalah negeri paling maju dan penyumbang ekonomi terbesar negara, tetapi kita kembali menggali karya asal — kitab-kitab lama, pengajian lama — supaya masyarakat yang maju secara material ini memiliki jiwa yang tenang, hati yang terbuka dan pemikiran yang jelas," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan FTIS 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu.
Majlis perasmian itu dihadiri Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar.
FITS edisi ketiga ini berlangsung sehingga 19 Julai akan mengetengahkan pelbagai pengisian ilmiah untuk pengunjung menerusi acara utama seperti sesi bacaan dan kupasan kitab, penjelasan tafsir surah terpilih, munaqasyah ilmiah bersama ulama antarabangsa dan nusantara serta syarahan perdana.
Sementara itu menurut Amirudin, festival kali ini memberi fokus khas kepada kitab Dalail al-Khairat, himpunan doa dan selawat penuh keindahan buat Nabi Muhammad SAW.
Selain berharap festival yang menghimpunkan para ilmuwan tempatan dan antarabangsa ini dapat menjadi jambatan bagi menghidupkan kembali suasana majlis ilmu selaras dengan aspirasi Selangor untuk membangun secara seimbang — lahiriah dan rohaniah.









Comments