top of page

Fokus utama pecahkan kepungan, penjajahan Israel, bukan isu personaliti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

Perjuangan membebaskan Palestin diteruskan biarpun selepas kepulangan sukarelawan
Perjuangan membebaskan Palestin diteruskan biarpun selepas kepulangan sukarelawan

Perjuangan solidariti terhadap rakyat Palestin tidak seharusnya beralih daripada matlamat asal iaitu memecahkan kepungan, penjajahan dan kezaliman rejim Israel ke atas penduduk Gaza.


Hal itu dinyatakan oleh Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Al Jundi, dalam satu kenyataan sempena menyambut kepulangan 23 sukarelawan Malaysia daripada misi Flotilla Sumud Nusantara di KLIA1, malam tadi.


Ahli Parlimen Sepang itu mengingatkan bahawa tumpuan perjuangan selepas ini perlu kekal kepada hak asasi dan kemerdekaan rakyat Palestin, bukan kepada individu atau personaliti yang terlibat dalam misi tersebut.


"Walau dalam arus perhatian dunia terhadap misi kemanusiaan seperti Freedom Flotilla, kita tidak boleh terlepas pandang hakikat asas bahawa rakyat Palestinlah yang menjadi mangsa utama dan perlukan pembebasan sebenar dalam perjuangan ini," katanya.


Dalam pada itu Aiman Athirah menzahirkan penghargaan terhadap keberanian para relawan yang disifatkan sebagai “insan-insan pemberani” dan “pendukung perjuangan kemanusiaan sejagat”, namun menegaskan bahawa mereka bukanlah wira utama kisah Palestin.


"Relawan-relawan kita dan seluruh dunia yang menyertai flotilla, konvoi bantuan, dan misi solidariti layak dihormati atas kepedulian, keberanian dan kesungguhan mereka. Namun, mereka bukanlah wira utama dalam kisah dan perjuangan ini.


"Mereka adalah insan-insan pemberani yang berjaya memecahkan ketakutan diri menghadapi regim dzalim, mereka adalah pendukung, tetapi bukan pusat tumpuan dan bicara kita.


"Kisah pengalaman para relawan adalah perlu dikongsikan untuk "break the silence" khususnya keadaan sebenar di dalam tangan pelaku-pelaku genosida, tetapi tidak boleh berlebihan sehingga menenggelamkan suara sebenar rakyat Palestin yang kini dibungkus derita kelaparan, hilang segala-galanya, menjadi mangsa genosida dan terkurung sekian lama dalam penjara terbesar dunia, iaitulah Gaza," ujarnya.

Aiman Athirah terharu menyambut kepulangan aktivis misi Global Sumud Flotilla
Aiman Athirah terharu menyambut kepulangan aktivis misi Global Sumud Flotilla

Ketua Wanita Parti Amanah Negara itu menegaskan bahawa perjuangan solidariti kemanusiaan Palestin bukan tentang siapa mahu menjadi wira, tetapi tentang menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan kefahaman, keyakinan, rendah hati, dan iman.


"Apabila misi solidariti menjadi lebih banyak tentang personaliti daripada perjuangan, kita sedang mengalih tumpuan daripada apa yang benar-benar penting, dan saya percaya bukan itu yang kita mahu atau perlukan.


"Pengalaman para relawan boleh diambil sebagai kesedaran, keinsafan dan ibrah yang membangkitkan rasa peduli dan tanggungjawab untuk kita "hadir" sama memberikan bantuan dan pertolongan dalam apa jua cara sejauh daya dan upaya kita," jelasnya.


Dalam kenyataan itu, beliau turut menyenaraikan empat tuntutan yang perlu terus “dilaungkan” oleh masyarakat dunia dalam perjuangan berkenaan, iaitu penamatan serta-merta pendudukan dan pengepungan Israel ke atas Gaza dan seluruh wilayah Palestin; hak pulang (Right to Return) untuk pelarian Palestin seperti dijamin undang-undang antarabangsa; pembebasan semua tahanan politik Palestin; dan pengiktirafan hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri.


"Kita berdiri bersama rakyat Palestin bukan kerana mereka lemah, tetapi kerana mereka dizalimi. Kita bantu bukan kerana mereka perlukan wira segera, tetapi kerana mereka perlukan keadilan dan pembelaan," tegas beliau.


Sehubungan itu, Aiman Athirah menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendukung perjuangan kemanusiaan dengan semangat ihsan dan pengorbanan.


"Buat semua Relawan Malaysia untuk Gaza samada yang baharu dan yang sekian lama, terima kasih, dan selamat pulang ke tanahair. Teruskan perjuangan, dan setiap perjuangan sememangnya menuntut pengorbanan," katanya penuh harapan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page