Kenyataan palsu berhubung milikan harta Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimainkan oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak lebih daripada propaganda politik murahan tanpa bukti kesahihan.
Sehubungan itu Setiausaha Politik PM, Ahmad Farhan Fauzi semalam membuat laporan polis ke atas anggota PN Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), Wan Saiful Wan Jan (Wan Saiful) dan Raggie Jessy Rithaudeen (RJ) kerana mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan-kenyataan palsu dan bersifat memfitnah terhadap PM.
Dalam kenyataan hari ini, Farhan mengecam keras tuduhan yang dikeluarkan tanpa bukti kukuh tersebut sebagai sebagai cubaan memburuk burukkan imej Anwar yang sedang melancarkan perang terhadap korupsi.
"Jelas bahawa kesemua kenyataan-kenyataan tersebut tidak berasas, berniat jahat, bermotifkan politik dan kesemua bukti-bukti yang kukuh dan konklusif serta menyeluruh telah (saya) dikemukakan kepada pihak polis
"Antara bukti yang saya serahkan adalah perjanjian pajakan selama 10 tahun bagi rumah di Sungai Long yang bermula dari Ogos 2020 sehingga Julai 2030
"Salinan geran yang menunjukkan pajakan berkenaan telah didaftarkan
"Juga bukti pembayaran pajakan tersebut yang dibayar secara tahunan mulai tahun 2020 tanpa gagal, malah untuk pajakan pada tahun 2023, ianya dibayar seawal bulan November 2022 sebelum Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri," ujarnya.
Bagi fitnah kononnya Anwar menggunakan Yayasan Aman untuk mendapatkan sebuah kereta bagi kegunaan peribadi beliau, Farhan berkata, kenderaan jenis Jaguar berplat VCQ 8055 tersebut hanyalah sebuah kereta terpakai sumbangan seorang simpatisan reformasi kepada Yayasan Aman pada tahun 2020
Usia kereta berkenaan, katanya telah melebihi 10 tahun.
"Ianya digunakan oleh Datuk Seri Anwar semasa beliau tidak menjawat apa-apa jawatan di dalam pentadbiran kerajaan.
"Walaupun didaftarkan di atas nama Yayasan Aman, kos penyelenggaraan kereta tersebut beserta insurans dan cukai jalan adalah ditanggung oleh Datuk Seri Anwar dengan menggunakan duit peribadi beliau dan tiada langsung dana dari Yayasan Aman digunakan untuk kenderaan itu," katanya.
Manakala kenderaan BMW 7 Series BEM 1 yang digunakan Anwar sewaktu kempen Pilihan Raya Umum baru baru ini pula, katanya, adalah pinjaman ihsan seorang ahli perniagaan bumiputra.
"Kenderaan tersebut telah dipulangkan kepada ahli perniagaaan tersebut sejurus selepas Datuk Seri Anwar menerima kereta rasmi kerajaan
"Untuk aset-aset lain kepunyaan Datuk Seri Anwar, terutamanya lot tanah di Port Dickson, rujukan boleh dibuat kepada Akuan Berkanun beliau bertarikh 9 November 2022," katanya lagi.
Tegas Farhan, laporan polis tersebut dibuat untuk menafikan fitnah pembangkang yang sewenang wenangnya menuduh tanpa asas.
Pihak berkuasa katanya, patut diberi ruang menjalankan tugas mereka dengan sempurna dan menghentikan budaya tohmah serta fitnah yang amat dilarang dalam agama.
コメント