
Terpilihnya filem animasi tempatan The Pillar of Strength (TPOS) merangkul anugerah 'The Best Nature Film' di Cannes Global Short Film Awards 2023 (GSF Awards) yang berlangsung di Perancis mengharumkan nama negara.
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil memuji mutu pengarahan anak Malaysia yang kini setanding dengan pembuat filem antarabangsa.

"Saya ingin mengucapkan tahniah atas kejayaan filem animasi tempatan, The Pillar of Strength yang telah merangkul anugerah 'The Best Nature Film' di Cannes Global Short Film Awards 2023 (GSF Awards) di Perancis.
"Filem animasi terbitan Creatvtoon Studio arahan anak jati Malaysia, Aie Ibrahim itu mengangkat kisah budaya serta adat resam kaum Dayak di Sarawak," katanya.
Fahmi berharap pada masa hadapan akan lebih banyak anak tempatan yang berjaya mencipta nama di arena antarbangsa dan mengikut jejak langkah TPOS.
"Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi buat penggiat-penggiat seni animasi dan kandungan digital tanah air untuk terus menghasilkan karya yang lebih mengagumkan dan luar biasa," katanya lagi.
Commentaires