top of page

Fikiran pemimpin Pas-PN ekstrem tidak wakili realiti Malaysia



Pemikiran pemimpin Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas begitu ekstrem dalam menyisihkan umat Islam yang tidak sepuak dengan mereka sehingga mewujudkan dua paksi masyarakat yang berbeza di Malaysia.


Menurut Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Pas dengan mudahnya telah menolak wasatiyah dan keharmonian antara kaum dalam gerakan politik mereka.


Malah katanya, parti itu mengindoktrinasikan para ahlinya bahawa gerakan politik mereka berpandukan Islam sebenar dan sesiapa yang menyanggah bermakna menolak Islam.


Sedangkan, ujar Dr Mujahid, fahaman seperti itu tidak pernah wujud dalam syariat Islam.


"Saya rasa ada locus standi bercakap (tentang fahaman ekstrem) kerana saya datang dari parti itu. Saya dibentuk dalam parti itu.


"Arwah ayah saya adalah mantan Mursyidul Am Pas dan mantan Presiden Pas, tetapi setahu saya zaman itu tidak berlaku begitu. Masa arwah ayah dan ust Fadzil (mantan Presiden Pas) tidak begini, malah mereka menegur.


"Saya ingat berlakunya isu kafir mengkafir begitu dahsyat di Terengganu dan Kelantan, dia (Yusof Rawa) kata ini tidak mewakili Pas, Pas tidak begitu. Pas ambil sikap hormat undang undang.


"Bila datang kepimpinan seterusnya, dan kita masih ingat ucapan Presiden Pas hari ini di Banggol Peradong yang berkata tentang Amanat Hj Hadi, hingga ke saat ini tidak ditarik balik, dan itu sehingga kini membentuk pemikiran orang muda Pas, bahawa Islam itu dia (Pas) dan dia itu Islam," katanya dalam forum "Islam Melayu Terbela" terbitan Media Perpaduan, malam tadi.


Oleh itu, kata Dr Mujahid, beliau pernah menulis bahawa fahaman ekstrem Pas tersebut menyamai fahaman golongan khawarij pada era kekhalifahan sahabat Rasullullah s.a.w dahulu.


Katanya, pemimpin Pas seolah olah tidak melihat mereka berada dalam negara majmuk yang perlukan toleransi.


"Misalnya (hujah) Malaysia dikuasai orang bukan Islam (dinyatakan) secara umum, tak ada bukti. Kedua, orang Islam hari ini tidak beriman. Bagi saya ini sangat bahaya


"Pemikiran ini terpisah daripada realiti. Dia bercakap begitu, bagaimana dia hidup dalam negara pelbagai kaum? Adakah semua bukan Islam jahat? Ancaman di mana? Kalau kembali kepada syariat, kita dilarang menghukum orang secara umum.


"Di sini saya lihat Pas tak ada kerangka kenegaraan," ujarnya.


Mengulas mengenai Kerajaan Perpaduan pula, Dr Mujahid berkata pembentukannya adalah kesempatan bagi umat Melayu untuk melupakan sengketa puluhan tahun lamanya dan membina negara yang lebih sederhana serta saling hormat menghormati.


"Pada saya ada ruang untuk cipta Malaysia yang lebih aman dan stabil, tetapi masing masing perlu berkorban.


"Amanah ada cerita, DAP ada cerita, Umno pun sama. Kita pernah berperang No DAP, No Anwar. Pada penghujungnya apa kita nak buat? Jadi perpaduan itu satu pengorbanan. Agong pun titah buat Kerajaan Perpaduan. Maka PH dan BN ambil sikap.


"Apakah PN tidak diberi peluang? Mereka diberi peluang (oleh Agong) tetapi mereka jawab tidak. Itu pilihan kamu. Jadi bila dah bentuk Kerajaan Perpaduan, ada konsensus (kata sepakat) yang kita perlu cari," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page