Festival Perahu Naga yang disambut masyarakat Cina pada bulan Mei dengan perlumbaan perahu dan beberapa upacara lain merupakan manifestasi daripada kegagalan reformasi yang cuba dilakukan seorang penyair bernama Qu Yuan di tanah besar China pada era pemerintahan Raja Qingxiang yang menjadi sebaliknya dalam politik semasa di Malaysia.
Menurut Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng, kisah Qu Yuan yang melemparkan dirinya ke Sungai Miluo kerana gagal melakukan perubahan memberkas di dalam sejarah perjuangan reformasi di negara ini, terutama kecekalan para reformis yang bangun setiap kali kalah dan kecundang sehingga akhirnya pada November 2022 berjaya menobatkan Bapa Reformasi negara Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kedudukan Perdana Menteri ke 10.
"Apabila kita meninjau persekitaran politik semasa Malaysia, lagenda Qu Yuan seharusnya menjadi pengajaran kepada kita. Kisah Qu Yuan menceritakan tentang percubaan reformasi yang gagal. Pada masa itu, Raja Qingxiang dari Chu enggan mendengar nasihat Qu Yuan, memilih untuk mendengar fitnah dan akhirnya membawa kehancuran ke atas dirinya.
"(Dalam politik semasa) Pilihan Raya Umum ke 15 tidak memberikan banyak pilihan kepada Malaysia. Namun, ini berbeza dengan kisah Qu Yuan yang membunuh diri sebaliknya Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih jalan berlandaskan reformasi, memimpin negara melalui Kerajaan Perpaduan.
"Konsep "Malaysia Madani" telah menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat Malaysia. Konsep ini menekankan keadilan, kejujuran dan keterangkuman, dengan matlamat untuk meningkatkan tahap tadbir urus dan kualiti hidup rakyat melalui beberapa siri langkah pembaharuan," katanya.
Lebih manis lagi, tambah Andre Lai, lawan politik tradisional UMNO-BN berjaya dijadikan rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan membentuk kerajaan yang stabil berbanding beberapa tahun sebelumnya.
Namun kata Andre Lai, bagi masyarakat Cina, semangat Qu Yuan penting kerana bukan sahaja mengajar mengenai kesetiaan dan cinta kepada negara tetapi juga tentang desakan keadilan dan reformasi. Hari ini, katanya, pejuang reformasi memerlukan semangat tersebut untuk menghadapi cabaran dan memacu negara ke hadapan.
"Sebagai perayaan yang mempunyai latar belakang sejarah dan budaya yang mendalam, Duan Wu mengingatkan kita untuk mengambil iktibar daripada sejarah dan menghargai hasil pembaharuan.
"Marilah kita, pada hari istimewa ini, mengingati mereka yang telah berjuang untuk kemajuan dan keadilan negara dan bekerjasama untuk masa depan yang lebih baik," katanya.
Untuk rekod, Festival Perahu Naga yang disambut di negara ini pada 10 Jun 2024 adalah perayaan untuk memperingati Qu Yuan. Penduduk negara Chu pada ketika itu mendayung perahu menyusuri sungai untuk mencari mayatnya, dan lama-kelamaan tradisi perlumbaan perahu naga terbentuk.
Pada masa yang sama, orang ramai membaling bebola nasi ke dalam sungai konon mengelakkan ikan dan udang memakan jasad Qu Yuan yang menjadi asal usul zongzi yang dikenali sekarang sebagai hidangan perayaan. Setiap tahun pada perayaan Duan Wu, orang ramai makan zongzi dan mengadakan perlumbaan bot naga.
Perayaan ini bukanlah perayaan yang menggembirakan. Oleh itu dalam konteks Mandarin, orang ramai tidak mengucapkan “Selamat Duan Wu” antara satu sama lain, sebaliknya mengucapkan “Duan Wu Ankang” antara satu sama lain untuk menyatakan hasrat untuk kesihatan dan keselamatan masing-masing.
Comments