FELDA: Pada era Kerajaan MADANI kertas siasatan salah laku dibuka - PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan siasatan berkaitan FELDA mengambil masa berikutan proses penelitian kertas siasatan yang berulang kali dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi melengkapkan keperluan siasatan.
Beliau berkata, kertas putih mengenai isu berkenaan telah dibentangkan pada 2019 namun tiada tindakan diambil sehingga Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran pada 2022.
Katanya, kertas siasatan hanya dibuka selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, diikuti penubuhan Jawatankuasa petugas khas FELDA yang mengambil masa kira-kira setahun sebelum proses siasatan diteruskan.
"Kita wujudkan Jawatankuasa Petugas Khas FELDA. Dia ambil masa setahun, lepas itu baru dibuka kertas siasatan.
Tidak ada penangguhan, cuma ‘timing’ itu dianggap baharu kerana siasatan dijalankan baru-baru ini.
"Jawatankuasa khas itu dimaklumkan kepada lembaga dan lembaga itu diwakili oleh ramai orang, semua sedia maklum.
"Saya jika bersama rakan-rakan Jemaah Menteri mempunyai akses sepenuhnya untuk mendapat maklumat.
"Saya terima kalau (orang kata) kadang-kadang tentang kelewatan, tapi kelewatan itu lebih baik ada (disertakan) tindakan, daripada tiada tindakan sama sekali," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai sebab kertas siasatan FELDA hanya dibuka pada 24 Ogos 2026, sedangkan urus niaga yang dipersoalkan didakwa berlaku antara 2010 hingga 2020.
Jelas Anwar lagi, proses siasatan perlu mengambil kira keperluan melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut dapat dilaksanakan, selain bergantung pada kecekapan badan penguatkuasaan yang terlibat.




Comments