top of page

Fahmi sumbang telefon bimbit baharu kepada Wira Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 8
  • 1 min read

Datuk Fahmi bersalaman menerima kepulangan sukarelawan GSF di KLIA1
Datuk Fahmi bersalaman menerima kepulangan sukarelawan GSF di KLIA1

Menyedari sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) telah kehilangan barang barang peribadi akibat dirampas tentera Israel, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil malam tadi menyumbangkan telefon bimbit percuma kepada 23 sukarelawan yang tiba di KLIA1.


Menurut Fahmi, inisiatif itu akan memudahkan urusan peribadi mereka di tanah air dan membolehkan mereka terus menyebarkan mesej kemanusiaan serta pengalaman ditahan secara haram melalui platform digital.


Fahmi juga secara peribadi mengiktiraf jasa pada sukarelawan dalam memecah kepungan Israel di Gaza sehingga membuka mata dunia


"Usaha dan semangat para sukarelawan misi GSF amat dihargai kerajaan," katanya dipetik Bernama.


Turut hadir menyambut mereka ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta wakil agensi kerajaan dan NGO.


Pesawat Emirates EK342 yang membawa 27 sukarelawan Malaysia — termasuk empat dari kapal pemerhati dan lima peguam — mendarat pada 10.07 malam tadi.


Langkah itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu mengumumkan kerajaan akan menggantikan semua telefon bimbit 23 sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut sebagai langkah keselamatan mengikut SOP sebelum pelayaran, sekiranya kapal mereka dipintas tentera Israel.


Pada 2 Oktober lalu, rejim Israel memintas 42 kapal GSF dan menahan 495 aktivis, termasuk 23 rakyat Malaysia, sebelum mereka dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.


Fahmi menyifatkan keberanian pasukan itu sebagai manifestasi semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan kemanusiaan Palestin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page