Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mencadangkan satu bentuk kawal selia diwujudkan di negara ini susulan peningkatan kes melibatkan keselamatan siber, privasi, hak cipta dan kandungan tidak bermoral di platform-platform media sosial.
Bercakap dalam Forum Tech Talk di Kuala Lumpur pada Ahad, Fahmi berkata, ketika ini semua platform media sosial di Malaysia masih belum dikawal selia oleh mana-mana akta dan undang-undang.
Justeru, katanya, adalah penting mewujudkan kawal selia bagi memastikan penyedia perkhidmatan media sosial mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan, sekali gus menjamin hak penggunanya.
"Semua platform media sosial (tiada kawalan), tetapi hampir di semua negara dikawal. Jadi kami (kerajaan) melihat peraturan khusus.
"Saya tidak akan mengatakan mengharapkan banyak, kita memerlukan peraturan yang lebih baik, keselamatan dalam talian kanak-kanak pertama dan utama, kita perlu mengawal selia platform ini, supaya mereka boleh mendengar arahan kita," katanya dipetik.
Sehubungan itu tambahnya, satu pertemuan akan diadakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said selain Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara itu.
"Saya akan adakan Mesyuarat dengan Azalina dan Gobind Singh mengenai Jawatankuasa Teknikal yang telah ditugaskan oleh Jemaah Menteri untuk meneliti isu keselamatan dalam talian terutamanya untuk kanak-kanak," jelasnya.
Comments