top of page

Faezuddin, anak Flat Cempaka tekad bela nasib warga DUN Kempas

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Kempas, Faezuddin Puad (gambar), menegaskan beliau mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan masyarakat dan komited memperjuangkan hak serta kebajikan penduduk Kempas sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Anak jati Kempas berusia 35 tahun itu berkata, beliau membesar di Blok 20, Taman Cempaka dan menerima pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seri Rahmat.


Menurutnya, latar belakang sebagai anak tempatan menjadikan beliau lebih memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi penduduk setempat.


"Saya masuk politik kerana ada satu cita-cita, iaitu mahu membantu rakyat, menyelesaikan masalah mereka dan membantu golongan yang susah.


"Apabila diberi peluang bertanding di Kempas, saya sedar amanah ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya bersedia memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada kempen di Kempas, semalam.


Faezuddin berkata, beliau tidak mahu menawarkan janji-janji yang sukar ditunaikan, sebaliknya beriltizam menjadi wakil rakyat yang rajin turun padang dan sentiasa mendekati masyarakat.


"Saya tidak mahu janji bulan dan bintang. Saya tidak mahu janji wang ringgit atau bangunan besar.


"Tetapi saya berjanji akan menjadi wakil rakyat yang rajin turun padang, mencari sendiri rakyat dan mendengar setiap aduan mereka," katanya.


Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan budaya kerja yang diamalkan Pakatan Harapan yang menekankan khidmat terus kepada rakyat.


Menurutnya, selain mewujudkan pusat khidmat rakyat di DUN Kempas, beliau turut merancang memperkenalkan kaunter bergerak yang akan menjelajah ke kawasan-kawasan perumahan bagi memudahkan penduduk menyampaikan aduan.


"Saya sendiri akan turun ke Taman Cempaka, Taman Dahlia, Taman Bukit Mewah dan seluruh kawasan Kempas untuk membuka kaunter bergerak.


"Saya tidak mahu hanya menunggu rakyat datang kepada saya, tetapi saya sendiri akan mencari mereka dan mendengar masalah yang dihadapi," katanya.


Dalam pada itu, Faezuddin turut mengangkat isu kemudahan kesihatan sebagai antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian segera.


Beliau berkata, keadaan Klinik Kesihatan Kempas yang semakin uzur, sempit dan sesak menyebabkan ramai penduduk, khususnya warga emas, terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.


Justeru, beliau berjanji akan mengusahakan pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat dengan sokongan Kerajaan MADANI.


"Kita tahu klinik kesihatan di Kempas sudah lama, sempit dan terlalu sesak.


"Saya tidak sampai hati melihat ayah-ayah dan ibu-ibu kita, terutama warga emas, terpaksa berdiri lama menunggu giliran.


"Sebab itu saya akan berusaha mendapatkan sebuah klinik kesihatan baharu demi keselesaan dan kebajikan seluruh warga Kempas," katanya.


Faezuddin berkata, keutamaan beliau bukan sekadar membawa pembangunan fizikal, tetapi memastikan setiap penduduk Kempas mendapat perhatian, pembelaan dan akses kepada perkhidmatan asas yang lebih baik melalui kehadiran seorang wakil rakyat yang sentiasa bersama rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page