Fadhlina Siddiq dipilih sebagai Senator Dewan Negara
- Omar Zin
- Sep 3, 2021
- 1 min read

Fadhlina Siddiq dipilih sebagai Ahli Dewan Negara baharu, setelah mendapat persetujuan sebulat suara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Pelantikan Fadhlina diusulkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan disokong oleh Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Agama Selain Islam, Chong Eng.
Fadhlina mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff, yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 28 Ogos lalu.
Selain Fadhlina, DUN Pulau Pinang turut menamakan Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying sebagai senator bagi tempoh tiga tahun, selepas pelantikannya diusulkan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan disokong oleh Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain.
Fadhlina merupakan anak perempuan kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil.
Selepas menyertai parti KEADILAN secara rasmi tahun lalu, Fadhlina dilantik sebagai Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN.
Fadhlina dikenali sebagai peguam yang sangat lantang dalam mempertahankan hak-hak wanita dan kanak-kanak selain aktif melibatkan diri dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pelantikan beliau adalah satu pengiktirafan buat dirinya yang mewakili parti KEADILAN dan beliau bakal memainkan peranan penting di Dewan Negara.
Opmerkingen