Fadhlina pemimpin berkarisma, perkukuh peranan wanita pelbagai peringkat
- Suara Keadilan
- Feb 15
- 3 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Wanita KEADILAN Pulau Pinang menyokong penuh Ketua Wanita Pusat (KWP) Fadhlina Sidek berdasarkan rekod cemerlang pencapaian beliau mengemudi sayap parti itu sepanjang sesi 2022-2025.
Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang, Nurhidayah Che Rose berkata, sejak Fadhlina menerajui pergerakan itu beliau telah memperjuangkan agenda wanita mencakupi semua bidang kehidupan serta memperkukuhkan peranan kaum hawa untuk membantu negara.
"Fadhlina seorang pemimpin yang berpandangan jauh, berwibawa, berkarisma dan telah membawa perubahan untuk memperhebatkan wanita.
"Beliau juga berjaya memperkasakan peranan Wanita KEADILAN sebagai sayap penting dalam parti seawal mengambil alih tampuk kepimpinan.

"Adalah amat wajar Fadhlina dikekalkan untuk terus mengetuai Wanita KEADILAN supaya apa yang dirancang bagi memperkasakan wanita berjalan lancar," kata Nurhidayah dalam satu kenyataan hari ini.
KEADILAN akan melaksanakan pemilihan parti bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei ini melibatkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN.
Manakala bagi pemilihan jawatan di peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang pula ditetapkan pada 11 April 2025 hingga 20 April 2025.
Inisiatif 'Run2Win'
Dalam pada itu Nurhidayah berkata, Fadhlina turut mengangkat konsep `leader creates leader’, meletakkan keutamaan kepada pembinaan kepimpinan yang berdaya saing.
Jelas Nurhidayah, sepanjang menerajui Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina sentiasa membuka ruang dan peluang kepada Ketua Wanita Negeri (KWN) serta barisan pemimpin pelapis untuk menyerlahkan potensi dalam diri mereka.
Di bawah kepimpinan Fadhlina, inisiatif seperti Run2Win telah berjaya melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berkaliber, berdaya saing serta bersedia menggalas tanggungjawab di pelbagai peringkat kepimpinan.

"Salah satu inisiatif kebajikan terbesar diterajui Fadhlina ialah Program Bakul Makanan Wanita (BMW) yang memberi manfaat kepada ribuan keluarga memerlukan tanpa mengira latar belakang.
"Yang membanggakan lebih 20,000 pek bakul makanan diperuntukkan kepada semua penerima yang layak.
"Ini menjadikan BMW antara inisiatif kebajikan paling komprehensif dalam sejarah Wanita KEADILAN.
"Malah keprihatinan beliau terserlah dalam setiap langkah yang diambil dengan bantuan diberikan tanpa sebarang pilih kasih.
"Setiap kali mendengar khabar tentang individu atau keluarga yang dilanda kesusahan, Fadhlina segera bertindak menggerakkan usaha bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," ujar Nurhidayah.
Dekat dengan masyarakat
Menurut beliau lagi, dedikasi dan keprihatinan Fadhlina bukan sahaja mencerminkan komitmen yang tinggi terhadap kebajikan rakyat, malah turut mengukuhkan peranan beliau sebagai seorang pemimpin yang sentiasa dekat di hati masyarakat.
"Sebagai KWN Pulau Pinang saya amat mengenali beliau, khususnya dari sudut karisma dan dedikasinya dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Hubungan kami terjalin erat tambahan pula beliau merupakan Ahli Parlimen di Pulau Pinang. Saya pernah berkhidmat di pejabat Parlimennya serta berperanan sebagai Ahli Majlis di kawasan beliau. Meskipun dibebani dengan pelbagai tanggungjawab sebagai menteri, beliau tetap memberi perhatian kepada keperluan rakyat di kawasannya," kata Nurhidayah.
Begitu juga, katanya, Fadhlina sentiasa menunjukkan keprihatinan dan komitmen yang tinggi dalam memastikan segala bentuk bantuan serta kemudahan latihan dapat disalurkan dengan lancar dan berkesan kepada MPKK di kawasan beliau.
Namun yang paling penting, jelasnya, Fadhlina sering memberi penekanan khusus terhadap pembangunan dan pemerkasaan wanita, termasuk wanita di Pulau Pinang.
Katanya, Fadhlina mahu semua wanita memperolehi peluang yang lebih luas dalam pelbagai bidang, ekonomi, sosial dan kepimpinan.
"Dalam usaha membangun citra aktivis parti yang madani, sejajar dengan aspirasi PMX, Fadhlina Sidek memastikan Wanita KEADILAN bergerak seiring dengan matlamat pembangunan politik yang inklusif dan progresif.
"Melalui program Latihan Wanita (LAWA), beliau terus memperkukuh barisan kepimpinan wanita yang berdaya saing, berdedikasi serta bersedia membawa perubahan bermakna kepada masyarakat," katanya.
Menyatukan dan menyantuni
Fadhlina mampu menyatukan dan menyantuni semua lapisan masyarakat melalui kepimpinan beliau yang adil, bijaksana serta berprinsip.
Menurut Nurhidayah, setiap kali tiba hari atau bulan yang bermakna seperti sambutan Tahun Baharu Cina atau pembukaan sesi persekolahan, Fadhlina komited menyalurkan bantuan termasuk sumbangan buah limau serta keperluan persekolahan kepada semua Ketua Wanita Cabang.
"Langkah ini diambil bagi memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan lancar di kawasan masing-masing. Lebih membanggakan, sumbangan tersebut diberikan tanpa mengira kecenderungan politik penerima, sama ada mereka menyokong beliau atau sebaliknya.
"Sikap kepimpinan yang inklusif, prihatin dan adil ini jelas mencerminkan keperibadian beliau sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat di luar batasan perbezaan politik.
"Wanita KEADILAN Pulau Pinang menegaskan bahawa kepimpinan Fadhlina adalah aset penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan serta pengukuhan Wanita KEADILAN sebagai tunjang parti.
"Kami akan terus berdiri teguh bersama Fadhlina dalam memastikan agenda wanita terus diperjuangkan dan hak serta kebajikan rakyat Malaysia terus dipertahankan," kata Nurhidayah.
Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan
Comments