Oleh: Noraini Nordin
Ketua Wanita KEADILAN Pusat Fadhlina Sidek memetik peringatan tokoh ulama tersohor Islam, Al Ghazali yang mengungkapkan tentang tiga zaman yang sangat penting dalam usaha sesebuah kerajaan membentuk budaya, pemikiran dan keperluan rakyatnya.
Zaman pertama, kata beliau, ialah zaman Al Walid yang membincangkan tentang bina-binaan di mana rakyatnya selalu berbincang tentang berapa besar banglo, berapa luas kolam renang dan berapa tinggi bangunan pencakar langit atau lif yang dibina.
Zaman kedua, tambahnya, adalah zaman Sulaiman di mana ketika itu rakyatnya sangat mencintai makanan, jadi setiap hari rakyatnya berbincang tentang makanan.
"Zaman ketiga yang disebut oleh Al Ghazali adalah zaman Umar Abdul Aziz yang mana beliau adalah pemimpin yang mencintai rakyatnya, mencintai khidmat kebaktian dan mencintai segala kebaikan.
"Maka rakyatnya pada ketika itu berbicara tentang kebaikan-kebaikan kerana pemimpinnya berbicara tentang khidmat kebaktian dan kebaikan," ujarnya ketika berucap dalam penggulungan Kongres Nasional KEADILAN di PICC, petang semalam.
Sehubungan itu, tegas Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan, pengajaran penting daripada apa yang disebut oleh Al Ghazali itu dengan suasana Kongres Nasional KEADILAN pada waktu ini adalah apa saja yang diucapkan demi kebaikan harus diangkat dan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
"Semua yang diucapkan di Putrajaya ini dan apa yang diucapkan oleh Presiden (Anwar) hendaklah diangkat dan diratakan di kalangan rakyat.
"Jadi konteks Madani ini betul-betul perlu diangkat dan disampaikan kepada rakyat sebagai agenda Malaysia Madani," tambahnya lagi.
Dalam waktu sama, Fadhlina berkata, beliau sedar tugasnya untuk memposisikan peranan di kementerian yang agak besar pemegang taruh wanita ini memerlukan anjakan intelektualisme dalaman parti, terutama dalam menyambut bakat-bakat baharu.
"Dengan itu, saya juga telah mengumumkan program yang menterjemahkan iltizam representasi dan suara wanita yang mewakili separuh populasi rakyat Malaysia.
"Mulai tahun hadapan, siri Wanita Akar Rumput Madani (WARM) dan Run To Win (R2W) akan menjadi program berkala untuk semua wanita.
"Manakala program BMW (Bakul Makanan Wanita), Kasih Keluarga Madani (KKM), Wanita Keadilan #sayangi diri dan #MadaniBelajar akan diperhebatkan di bawah Wanita KEADILAN,” katanya.
Justeru itu, Fadhlina menaruh harapan yang menggunung kepada para pemimpin Majlis Pimpinan Pusat, pimpinan cabang serta jajaran kepimpinan negeri agar melibatkan sayap Wanita KEADILAN dalam semua peranan dan keputusan strategik yang bakal mereka ambil.
Comments