
Oleh: Helmi Mohd Foad
Satu kumpulan pakar berasingan telah dibentuk bagi membuat kajian mendalam mengenai cadangan pindaan dan menggantikan enakmen syariah di Selangor yang telah dibatalkan di Mahkamah Persekutuan, kata Exco Agama dan Pembudayaan Inovasi negeri.
Beliau berkata Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bertindak sebagai urusetia menyediakan cadangan pindaan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (EPAIN) manakala Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) di bawah Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS).
"Bagi tujuan penyediaan draf undang-undang di Selanggor, satu kumpulan pakar dibentuk secara berasingan mengikut undang-undang yang akan dipinda atau digubal untuk membincang untuk mengkaji cadangan pindaan dan mewujudkan undang-undang Islam di mana kumpulan pakar ini terdiri daripada pakar undang-undang perlembagaan, ahli akademik dan pengamal undang-undang sivil dan syariah.
"Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga terlibat dalam libat urus penyediaan undang-undang berkaitan," kata Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika menjawab soalan Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) dan Nushi Mahfodz (PN-Semenyih) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Mohammad Fahmi berkata bagi tujuan pengharmonian undang-undang syariah negeri, JAKESS, JPSS dan MAIS terlibat dengan perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Katanya, cadangan tersebut akan disemak oleh Jawatankuasa Undang-Undang MAIS, penasihat undang-undang negeri, mufti, pegawai kanan Jabatan Peguam Negara dan Jakim sebelunm dibentang dalam mesyuarat MAIS.
Jelas beliau sebarang cadangan pindaan membabitkan enakmen tersebut dilakukan bagi melindungi undang-undang syariah daripada dicabar oleh pihak tertentu melalui proses undang-undang.
"MAIS dan agensi Islam lain iaitu JAKESS, JPSS dan JAIS sentiasa komited termasuk terlibat aktif dengan perbincangan di peringkat kebangsaan dalam memastikan undang-undang Islam diperkasakan dalam kerangka ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Terdahulu Mohammad Fahmi berkata MAIS mengambil maklum titah Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam mesyuarat majlis itu di Shah Alam pada 28 Ogos lalu mengenai penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji mengenai kompetensi undang-undang negeri di bawah enakmen serta bidang kuasa mahkamah syariah di Malaysia.
"Walaupun titah itu ditujukan kepada agensi Persekutuan, tindakan juga sedang diambil oleh MAIS terhadap pindaan atau kewujudan peruntukan undang-undang Islam di Selangor khususnya bagi menggantikan undang-undang yang telah diisytiharkan terbatal oleh Mahkamah Persekutuan," katanya.
Dalam tempoh tiga tahun, terdapat dua kes yang telah diisytihar terbatal oleh Mahkamah Persekutuan melibatkan enakmen syariah di Selangor iaitu pembatalan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2003 melibatkan kuasa mahkamah syariah untuk dengar semakan keputusan MAIS dan Jawatankuasa EPAIN pada 21 Februari 2022.
Pada 25 Februari 2021 pula Mahkamah Persekutuan membatalkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 melibatkan kesalahan bersetubuh di luar tabie.