Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan Selangor mengingatkan kakitangan awam agar tidak terbawa-bawa dengan gerakan politik identiti yang menjadikan ia sebagai satu bentuk kepercayaan hingga mempengaruhi segala keputusan yang ingin diambil.
Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari berkata, landskap negeri Selangor yang bersifat berbilang kaum serta agama perlu dihormati dan sentiasa dipertahankan.
"Ini bukan masalah di Malaysia tetapi di seluruh dunia, kewujudan politik identiti sedang merebak di banyak kawasan yang bukan membawa maksud buruk di peringkat awal, rasa bangga identiti kita, korek tentang leluhur kita tidak menjadi masalah. Lahir dari keturunan mana yang membawa kebanggaan.
"Namun ia tidak boleh terus menjadi kepercayaan hingga keputusan untuk semua ditentukan lebih berat kepada keturunan dan etnik, tinggalkan elemen adil dan kemanusiaan antara kita semua yang harus kita hadapi dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam hari ini.
Hadir sama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negeri Datuk Haris Kasim dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Amirudin yang juga wakil rakyat DUN Sungai Tua berkata Selangor merupakan sebuah negeri yang bukan 90 peratus dihuni oleh satu kelompok, sebaliknya mempunyai jumlah yang signifikan membabitkan pelbagai keturunan dan latar belakang.
"Kalau anggap kebiasaan membesarkan keegoan identiti, akhirnya kita akan menimbulkan krisis atau ketidaktentuan yang tidak diperlukan. Kalau ambil kira semua pihak, kita akan dapat kekalkan momentum kejayaan dan hasilkan apa yang kita laksanakan sebelum ini," katanya.
Justeru itu, beliau turut mengulangi agar penjawat awam termasuk yang datang dari luar Selangor agar dapat mengadaptasi budaya kepelbagaiam kaum di negeri ini.
"Negeri ini memang menjadi 'melting port' kepada semua orang yang datang kerana kejayaan ekonomi bersama, dengan hasil pendapatan tingi, pelaburan dan sumbangan Keluaran Dalam Negera Kadar yang terus mencatatkan peningkatan, ia menjemput rakyat pelbagai lapisan datang mencari rezeki dan bawa harapan mungkin berbeza, tetapi perlu diharmonikan," katanya.
Jelasnya kerajaan mahu keharmonian diwujudkan termasuk berada di kaunter hadapan dan membuat keputusan perlu ada pertimbangan dari segi kepelbagaian kaum serta perbezaan kelas tanpa mengetepikan rasa hormat kepada bangsa sendiri
"Ia bukan lagi pada tahap hormati-menghormati atau faham memahami tetapi harus mendalam dari segi pengetahuan tentang perbezaan antara kita, ia harus diselaraskan supaya tidak timbul situasi tidak diingini," tegasnya lagi.
Commentaires