eKYC bantu kerajaan pantau penggunaan media sosial remaja – MyKOM Johor
- Suara Keadilan
- 25 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Habsul Ahmad
Cadangan mewajibkan proses pengesahan identiti elektronik atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi pendaftaran akaun media sosial remaja disifatkan sebagai langkah wajar bagi membantu kerajaan memantau penggunaan internet secara lebih bertanggungjawab.
Penyelaras Pertubuhan Media Komunikasi Johor (MyKOM), Faizul Abdul Ghani, berkata langkah itu penting bagi memastikan hanya pengguna yang sah dan cukup umur dibenarkan mengakses platform media sosial, sekali gus membendung pendedahan awal terhadap kandungan tidak sesuai dalam talian.
"Sistem eKYC yang melibatkan pengesahan menggunakan kad pengenalan (IC) dan imbasan wajah bukan sahaja dapat mengesahkan identiti pengguna, tetapi juga memberi ruang kepada kerajaan untuk memantau corak penggunaan media sosial golongan remaja.

"Macam sistem eKYC ni bagus sebenarnya, pengguna perlu imbas muka dan sahkan IC betul-betul. Ia boleh jadi kaedah terbaik untuk daftar remaja yang guna internet sendiri.
"Umur 13 tahun diikutkan memang belum matang, jadi naikkan kepada 16 tahun itu langkah yang wajar," kata Faizul kepada Suara Keadilan.
Beliau bagaimanapun mengakui masih terdapat persepsi negatif terhadap usaha tersebut, termasuk dakwaan kononnya kerajaan akan ‘mengintip’ pengguna media sosial, namun, katanya, tanggapan itu timbul daripada pihak yang tidak memahami tujuan sebenar kawalan tersebut.
"Ada orang kata curi data, ada yang kata pergerakan media sosial dipantau, tapi semua itu persepsi negatif daripada mereka yang tak suka kawalan kepada perkara yang baik.
"Padahal tujuan utama ialah menjaga anak-anak kita sendiri," katanya.
Faizul turut menegaskan bahawa punca utama gejala penyalahgunaan media sosial dalam kalangan remaja bukan semata-mata berpunca daripada teknologi, sebaliknya sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak tanpa pengawasan sejak kecil.
"Sekarang ibu bapa terlalu manjakan anak-anak. Dari kecil dah bagi telefon, bagi hiburan dan kartun. Sampai masa makan pun guna telefon nak umpan anak. Itu semua jangka pendek, jangka panjang tak elok," katanya.
Beliau menambah bahawa selain penguatkuasaan kerajaan, peranan pendidikan dan institusi agama turut penting dalam membentuk disiplin serta kawalan kendiri anak-anak terhadap penggunaan media sosial.
"Pendidikan media perlu diterapkan di sekolah, surau dan masjid supaya anak-anak faham batas sosial. Dulu Maghrib dah duduk rumah, tapi sekarang semua sibuk kerja dan susah nak pantau.
"Sebab itu agama kena dijadikan asas Untk orang Islam tentu ada panduan, dan tenu juga untuk agama-agama yang lain," katanya.
Faizul menegaskan, pelaksanaan eKYC bukan sekadar kawalan teknikal, tetapi sebahagian daripada usaha mendidik generasi muda agar lebih beretika dan berdisiplin dalam dunia digital yang semakin mencabar.
"Zaman sekarang dahsyat cabarannya, dari permainan video sampai media sosial. eKYC ni bukan untuk sekat, tapi untuk kawal dan lindungi mereka," ujarnya lagi.