top of page

Ekonomi merudum, segerakan Undi Tidak Percaya di Parlimen - PH



Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan untuk mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan usul Undi Tidak Percaya agar dibentang di Dewan Rakyat berikutan kemerosotan ekonomi negara yang semakin parah akibat ketidakyakinan komuniti kewangan antarabangsa terhadap urus tadbir Kerajaan Malaysia.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden PH, kemerosotan penarafan dari AAA- ke BBB+ oleh Fitch Ratings kelmarin menjadi bukti kerajaan PN tidak mampu menguruskan ekonomi dan politik negara.


"Demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan halatuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara, Majlis Presiden PH berpendirian bahawa kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul Undi Tidak Percaya yang telah dibawa Ahli-ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember ini," kata kenyataan Majlis Presiden.


Kata kenyataan itu lagi, penurunan penarafan menunjukkan dengan jelas kerajaan, khususnya Menteri Kewangan gagal dalam perancangan dasar serta tatakelola pentadbiran, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.


"Kesan penurunan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius.


"Perdana Menteri seharusnya mengangkat prinsip ketelusan dan tatakelola yang baik dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional, bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), antara lainnya.


"Malangnya, ini tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada," kata kenyataan itu lagi.


Pada 4 Disember lalu, Fitch Ratings telah menurunkan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+. Penurunan itu adalah yang terburuk semenjak krisis kewangan Asia 1998.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan di bangunan Parlimen.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page