Ekonomi Malaysia kekal berdaya saing, KDNK 2026 diunjur meningkat ke 4.5%
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus bagi separuh pertama 2025, membuktikan ekonomi negara kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan global dan sengketa geopolitik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata unjuran semula KDNK bagi tahun 2025 adalah antara 4.0 hingga 4.8 peratus, manakala 2026, pertumbuhan diunjur antara 4.0 hingga 4.5 peratus.
Kadar ini mencerminkan ekonomi Malaysia masih berkembang dengan stabil walaupun dunia dibadai perang tarif, gangguan rantaian bekalan serta tekanan pasaran tenaga dan makanan, katanya.
"Ekonomi kita kekal berdaya tahan hasil disiplin fiskal yang ketat, pengukuhan institusi dan keberanian melaksanakan reformasi struktural di bawah kerangka Ekonomi MADANI," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri menjelaskan, momentum pertumbuhan negara terus disokong dasar fiskal yang mengembang secara berhemat, di samping pelaburan strategik oleh GLIC, Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan di bawah perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan kerajaan akan memperluas digitalisasi sistem kewangan dan pentadbiran, termasuk pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh mulai 2026 bagi meningkatkan pematuhan cukai serta mempercepat bayaran balik cukai terlebih bayar.
Selain itu, katanya kerajaan juga akan mengehadkan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan kepada nilai tidak melebihi RM300,000 mulai 1 Januari 2026 bagi mengelak ketirisan hasil negara.
Kata beliau langkah-langkah pengukuhan institusi turut ditekankan termasuk meningkatkan peranan agensi penguatkuasaan dengan peruntukan lebih RM700 juta untuk mempertingkat aset dan latihan bagi membanteras rasuah serta penyelewengan.
Beliau menegaskan, gabungan disiplin fiskal, pembanterasan ketirisan, dan kecekapan pengurusan ekonomi akan memastikan Malaysia terus berada di landasan kukuh untuk melangkah sebagai ekonomi bernilai tinggi dan berdaya tahan menjelang pertengahan dekad ini.
Katanya usaha memperkukuh sistem penyampaian kerajaan, pendigitalan perkhidmatan awam dan penyasaran subsidi menjadi antara tumpuan utama Belanjawan MADANI 2026.
Beliau berkata langkah reformasi pentadbiran kini menunjukkan hasil positif dengan peningkatan Indeks Daya Saing Dunia sebanyak 11 anak tangga, hasil penjimatan dan kecekapan pengurusan projek kerajaan.
Menurutnya, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi Kerajaan (STAR) yang digerakkan di bawah agenda reformasi berjaya menyelaras lebih 1,000 projek kerajaan tanpa kebergantungan kepada perunding luar, serta menjimatkan kos pematuhan sehingga RM1.1 bilion.
Bagi memastikan institusi negara berfungsi bebas dan berwibawa, Parlimen diperuntukkan hampir RM220 juta, termasuk RM5 juta tambahan untuk memperkasa Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kata beliau.
Dalam masa sama, beliau berkata sejumlah RM15 juta disediakan bagi memperluas program pembangunan komuniti di bawah Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM).
Beliau turut mengumumkan bahawa pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini di peringkat libat urus, selain penubuhan Pasukan Reformasi Undang-undang bagi meneliti pindaan menyeluruh terhadap undang-undang jenayah, kontrak dan perundangan lain.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa penyasaran subsidi menjadi fokus utama bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia, bukan kepada warga asing atau syarikat besar.
Katanya langkah pengapungan harga ayam dan telur serta penstrukturan tarif elektrik dan subsidi diesel telah menjimatkan lebih RM15.5 bilion setahun, dana yang kini disalurkan semula untuk kebajikan dan projek pembangunan rakyat.
"Setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan rakyat, lebih banyak ruang untuk memperkukuh kesejahteraan dan mengurangkan beban hidup," katanya.