Ekonomi cemerlang, Malaysia gagah di persada dunia pada 2025
- Suara Keadilan

- Jan 2
- 2 min read

Malaysia menutup tirai tahun 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila mencatat kebangkitan ekonomi yang kukuh serta peranan kepimpinan yang semakin menonjol di peringkat antarabangsa.
Menurut aktivis masyarakat Lai Chen Heng, kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 menyaksikan negara berjaya menyatukan pemimpin dunia di Kuala Lumpur, sekali gus mengukuhkan kedudukan diplomatik negara di persada global.
"Sebagai Pengerusi ASEAN, kita berjaya menyatukan pemimpin dunia di Kuala Lumpur. Kejayaan diplomatik ini seiring dengan pengukuhan Ringgit yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima tahun," menurut kenyataan itu.
Dalam usaha menjaga kebajikan rakyat, katanya kerajaan turut melaksanakan program BUDI MADANI (BUDI95) yang memastikan kira-kira 13 juta rakyat terus menikmati subsidi minyak pada harga RM1.99 seliter, sekali gus menutup ruang ketirisan nasional.
Tahun 2025 juga menyaksikan fokus besar diberikan kepada kesejahteraan rakyat apabila pelaburan berjumlah RM285.2 bilion direkodkan, sekali gus mewujudkan lebih 150,000 peluang pekerjaan baharu.
"Di bawah payung Malaysia MADANI, bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah ditingkatkan sehingga RM4,600 bagi setiap isi rumah, iaitu pemberian tertinggi dalam sejarah negara, bagi membantu rakyat mendepani kos sara hidup," kata Lai.
Menurut beliau, walaupun ekonomi negara berada pada landasan stabil, suhu politik sepanjang tahun kekal mencabar. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat terus kental mengemudi pentadbiran negara meskipun berdepan pelbagai isu sensitif termasuk perbahasan berkaitan UEC dan kontroversi melibatkan premis tertentu.
Selain itu, dinamika politik dalaman turut berlaku menerusi pemilihan Parti KEADILAN yang telah menyaksikan rombakan dan perubahan landskap kepimpinan parti. Negara juga berdepan cabaran baharu seperti ancaman teknologi deepfake, penularan fitnah di media sosial serta pencerobohan privasi melalui penyebaran rakaman haram.
"Segala cabaran sepanjang 2025 telah mendewasakan kita. Dengan ekonomi yang makin teguh dan kestabilan yang kian dirasai, kita melangkah ke tahun 2026 dengan penuh optimis," kata Lai lagi.
Justeru beliau berharap tahun 2026 akan menghilangkan kekecohan dan menjanjikan suasana politik dan ekonomi yang lebih stabil buat negara.









Comments