eCOSS berkesan, digunapakai kawal penjualan minyak masak subsidi
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mengguna pakai aplikasi Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) berikutan keberkesanannya mengawal penjualan minyak masak peket bersubsidi di pasaran.
Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, sejak diperkenalkan pada 1 April lalu sebanyak 1,658,480 pengguna telah mendaftar dalam sistem eCOSS, sekali gus membuktikan penerimaan yang baik dalam kalangan rakyat.
Dipetik laporan media, beliau menegaskan pelaksanaan eCOSS berjaya mengekang ketirisan bekalan apabila menyekat pembelian minyak masak peket oleh warga asing, sekaligus menyelesaikan isu ketirisan bekalan yang yang sekian lama menjejaskan golongan B40.
"Oleh kerana eCOSS berfungsi dengan baik dalam mengawal akses pembelian minyak masak bersubsidi, sistem ini akan diteruskan buat masa ini.
"Namun KPDN sedang mencari alternatif yang lebih mudah buat pengguna di masa hadapan, tetapi cara yang lain itu mungkin ada cabaran yang lain pula," katanya dipetik.
Beliau menjelaskan antara cadangan ialah penggunaan MyKad seperti sistem MyKasih, namun kekangan infrastruktur termasuk ketiadaan terminal di kebanyakan kedai runcit perlu diberi perhatian.
Mengulas lanjut beliau menegaskan eCOSS bersifat inklusif dan fleksibel, khususnya kepada warga emas atau pengguna yang tidak memiliki telefon pintar.
"Pembelian boleh dibantu oleh peniaga secara manual dengan mengambil maklumat pembeli. Pihak kedai dan pasar raya juga membantu pengguna memasang aplikasi eCOSS serta melengkapkan pengesahan identiti (eKYC).
"Selepas itu, proses pembelian menjadi lebih mudah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan penggunaan eCOSS berjaya menangani isu ketirisan minyak masak peket bersubsidi dan memastikan subsidi disalurkan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat yang layak.









Comments