Cukai eksais ke atas rokok elektronik atau vape yang akan diperkenalkan kerajaan setelah diumumkan dalam Belanjawan Madani 2023 semalam disokong majoriti rakyat.
Bagi Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Terengganu, langkah tersebut mampu mengurangi tabiat mengambil nikotin dalam kalaangan anak muda dan diharap akan menghasilkan generasi penamat rokok pada masa hadapan.
"Langkah ini dapat menyokong perlaksanaan Rang Undang-undang Generasi Penamat (geg) yang telah dirancang kerajaan sebelum ini.
"Kita ingin melihat generasi muda bebas dari gejala rokok dan vape dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan bebas daripada penyakit yang disebabkan daripada tabiat merokok dan penggunaan vape. Pengenalan duti eksais ini akan mengekang sedikit sebanyak budaya penggunaan vape dalam kalangan masyarakat.
"Jika kita melihat kepada penggunaan produk vape di negara kita yang berkembang pesat sememangnya diperlukan satu regulasi dan juga percukaian seperti produk rokok yang lain. Pengenalan duti eksais ini akan membuatkan penjualan dan penggunaan vape menjadi lebih terurus dan dapat menambah pendapatan negara," kata KEADILAN Kemaman kenyataan tersebut.
Biro Penerangan KEADILAN Terengganu itu juga memuji penyaluran cukai eksais berkenaan ke Kementerian Kesihatan yang boleh membantu kementerian itu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatannya kepada rakyat.
"Cukai seumpama ini tidaklah begitu asing sebenarnya, bahkan banyak dilaksanakan di negara-negara maju. Mengambil contoh ketika pentadbiran perdana menteri United Kingdom (UK) David Cameron, pentadbiran beliau pada 2012 telah mempekenalkan sugar tax ataupun cukai gula kepada minuman berkabonat bagi mengawal penggunaan gula di kalangan kanak-kanak. Hasil daripada cukai itu disalurkan kepada pembangunan sukan dan atlet UK.
"Kerajaan juga dilihat mengambil pendekatan yang sama di mana duti eksais ini digunakan untuk mengawal penggunaan vape di kalangan masyarakat dan hasilnya digunakan untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat melalui peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Kesihatan," kata kenyataan itu lagi.
Justeru, KEADILAN Terengganu mengharapkan budaya merokok dan penggunaan vape akan berakhir dengan kerjasama semua pihak demi masa depan generasi muda yang lebih baik.
Commentaires