top of page

Dunia henti berpura-pura, tamatkan penindasan atas rakyat Palestin - PM

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
20 hours ago
2 min read
DS Anwar berucap pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara sempena Global Sumud Congress 2026 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) malam tadi
DS Anwar berucap pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara sempena Global Sumud Congress 2026 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) malam tadi

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan lebih tegas membela rakyat Palestin sambil mengecam kegagalan tatanan antarabangsa mempertahankan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia ketika penduduk Gaza terus berdepan penindasan.


Perdana Menteri menyifatkan percanggahan antara prinsip yang dilaungkan dengan tindakan dunia terhadap Palestin sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima terutamanya apabila hak dan nyawa manusia seolah-olah dinilai berdasarkan latar belakang bangsa atau agama.


"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudara-saudari kita dari seluruh dunia yang bukan sekadar melaungkan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia tetapi benar-benar mahu menyuarakan apa yang betul, mendedahkan kepura-puraan serta kegagalan masyarakat antarabangsa.


"Saya sedar bahawa saya bercakap sebagai seorang Perdana Menteri. Namun, saya perlu meluahkan rasa amat jijik terhadap kegagalan tatanan antarabangsa ini. Tatanan apakah yang kita maksudkan?


"Tanpa demokrasi, demokrasi untuk siapa? Tanpa hak asasi manusia, hak untuk manusia yang mana? Sedangkan manusia dilayan seperti haiwan dan hamba," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara sempena Global Sumud Congress 2026 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) malam tadi.


Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.


Kezaliman lebih 70 tahun


Anwar berkata penderitaan rakyat Palestin bukan sekadar krisis yang tercetus sejak dua atau tiga tahun lalu sebaliknya mencerminkan kezaliman yang berlarutan lebih 70 tahun dan memerlukan perhatian serta tindakan berterusan masyarakat antarabangsa.


DS Anwar bertemu aktivis perjuangan Palestin di Malaysia
DS Anwar bertemu aktivis perjuangan Palestin di Malaysia

Beliau mempersoalkan sama ada layanan berbeza terhadap isu Palestin berpunca daripada hakikat bahawa penduduknya terdiri daripada orang Arab, rakyat Palestin atau umat Islam sedangkan hak untuk hidup bebas daripada penjajahan dan penindasan merupakan hak semua manusia.


"Bagi saya, perkara itu tidak penting. Apa yang penting ialah mereka manusia dan mereka tidak boleh dijajah. Kita tidak boleh membiarkan penindasan berterusan serta kekejaman dikenakan terhadap nyawa yang tidak bersalah," katanya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan sokongan terhadap usaha Global Sumud Flotilla perlu diteruskan meskipun berdepan risiko dan cabaran kerana inisiatif berkenaan membawa suara solidariti antarabangsa bagi membela rakyat Palestin.


Menurut beliau, penderitaan bayi dan kanak-kanak di Gaza yang terus merayu agar dunia mendengar nasib mereka seharusnya menyedarkan masyarakat antarabangsa supaya tidak terus mengutamakan kepentingan sendiri sehingga mengabaikan penderitaan orang lain.


Kesedaran makin berkembang


Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa kesedaran terhadap perjuangan Palestin semakin berkembang di Amerika Syarikat, Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin sekali gus memberikan harapan kepada usaha menuntut keadilan dan kebebasan untuk rakyat Palestin.


Beliau turut menggesa semua pihak menyumbang masa, tenaga dan sumber bagi membantu rakyat Palestin sambil menegaskan bahawa usaha sekecil mana sekalipun tetap bermakna dalam menghadapi penderitaan yang berpanjangan.


Dalam pada itu Anwar merakamkan penghargaan kepada penyertaan delegasi antarabangsa yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada suara hati nurani dunia dalam menuntut keadilan untuk Palestin.


"Anda adalah sebahagian daripada suara hati nurani, suara kewarasan, yang melaungkan tuntutan keadilan. Anda tidak menunjukkan bahawa anda berputus asa. Anda menunjukkan keazaman anda," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page