Pengundi di DUN Mulu sebaik baiknya memberi mandat kepada calon KEADILAN, Roland Engan yang banyak berjasa di kawasan itu.
Menurut Roland, kerosakan alam sekitar yang tidak pernah diambil peduli oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum meluluskan konsesi balak seharusnya menyedarkan warga Mulu perlunya mereka berubah.
"Amat menyedihkan melihat ramai penduduk di sekitar Mulu yang kerja sebagai ‘porter’ di Taman Negara Mulu, yang merupakan tarikan pelancongan di peringkat antarabangsa tetapi rakyat Mulu sendiri terus hidup dalam kemiskinan.
"Tanah NCR rakyat Mulu pula banyak diceroboh oleh syarikat balak yang merupakan kroni kerajaan GPS.
"Kini kawasan Sungai Tutoh sekitar Baram mengalami isu ‘log jam’ (banjir kayu balak) dari masa ke semasa disebabkan aktiviti pembalakan dan ini juga mengakibatkan kawasan tersebut mengalami banjir yang teruk beberapa kali tahun ini," kata Roland dalam kenyataan.
Menurut beliau lagi, Sungai Tutoh kini juga sangat tercemar dan banyak flora dan fauna musnah. Akibat kemusnahan alam sekitar itu, katanya, rakyat Mulu hilang banyak sumber hutan yang membantu menyara hidup seharian mereka.
Tambah Roland, pengundi perlu memberi peluang kepada KEADILAN untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang sejak 58 tahun lalu diabaikan begitu sahaja oleh kerajaan GPS.
Comentários