'DUN Bersatu tidak bertanding, ahli harus sokong PH, pertahan maruah Muhyiddin'
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Ahli-ahli Bersatu di kawasan yang parti itu tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini disaran memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai mesej mempertahankan maruah parti dan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Kerja KEADILAN Johor, Muhd Ezaddin Abdul Rahman (gambar) berkata, perkembangan semasa menunjukkan Pas mengarahkan penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) telah menimbulkan persoalan mengenai komitmen terhadap rakan komponen sendiri.
"Jika benar Pas mengarahkan ahlinya mengundi BN, ini jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang sedang meminggirkan Bersatu.
"Ahli-ahli Bersatu perlu membuka mata dan menilai sendiri kedudukan parti mereka dalam gabungan itu," katanya ketika dihubungi.
Menurut Muhd Ezaddin, penyokong Bersatu khususnya di kawasan yang menjadi kubu Presiden Muhyiddin Yassin wajar menghantar mesej tegas kepada Pas dengan memberikan sokongan kepada calon PH di kerusi yang tidak ditandingi.
Beliau berkata, tindakan itu bukan bertujuan menolak Bersatu, sebaliknya sebagai simbol mempertahankan maruah parti yang semakin dipinggirkan oleh rakan gabungan sendiri.
"Kalau Pas boleh meminta ahlinya mengundi BN, mengapa ahli Bersatu tidak boleh membuat keputusan mengundi PH demi mempertahankan maruah parti dan menghantar isyarat bahawa Bersatu tidak boleh terus diperlakukan sebegitu?" katanya.
Muhd Ezaddin berkata, PRN Johor kali ini bukan sekadar pertandingan antara parti politik, sebaliknya menjadi medan untuk ahli-ahli Bersatu menentukan sama ada mereka mahu terus menerima layanan sebagai rakan yang dipinggirkan atau bangkit mempertahankan prinsip perjuangan parti.
"Undi ahli Bersatu amat bernilai. Jangan biarkan undi itu digunakan untuk mengukuhkan pihak yang akhirnya memberi kelebihan kepada BN. Ahli Bersatu perlu menghantar mesej bahawa maruah parti tidak boleh dipermainkan oleh mana-mana pihak," katanya.
Beliau menambah tindakan Pas yang mengalihkan sokongan kepada BN hanya akan melemahkan kedudukan Bersatu dalam gabungan pembangkang, malah berpotensi menghakis keyakinan akar umbi terhadap hala tuju kerjasama politik tersebut.
"Jika benar Pas menganggap BN lebih layak disokong berbanding calon yang boleh membawa perubahan, maka ahli Bersatu juga berhak membuat pilihan politik mereka sendiri.
"Undi PH di kawasan yang tiada calon Bersatu sebagai tanda bahawa maruah parti perlu dipertahankan dan kepentingan ahlinya tidak boleh diketepikan," katanya lagi.
