Dua peserta demonstrasi di Kedutaan AS dibebas selepas diberi “tazkirah”
- Suara Keadilan
- Oct 3
- 2 min read

Dua peserta demonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis yang ditahan kerana mencederakan anggota polis ketika bertugas menjaga ketertiban perhimpunan telah dibebaskan pada malam itu juga selepas diberi nasihat oleh pihak polis.
Menurut kenyataan aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz, layanan mesra Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat wajar dipuji kerana pendekatan berhemah diambil dalam menangani insiden berkenaan.
"Selepas diberi 'tazkirah' oleh polis, dua peserta demo di Kedutaan AS semalam dibebaskan malam itu juga. Hebat layanan mesra polis zaman sekarang," katanya.
Beliau turut memetik kata-kata seorang pegawai polis yang menasihati peserta demo agar menjaga tingkah laku dan tidak mencetuskan provokasi ketika berhimpun.
"Saya orang Melayu, kamu orang Melayu. Saya orang Islam, kamu orang Islam. Saya pun sokong Palestin, kamu pun sokong Palestin. Jadi sama-samalah jaga perangai kita dan jangan buat provokasi," kata pegawai polis itu.
Penahanan ke atas dua orang itu dibuat kerana berlaku kecederaan terhadap anggota polis, bukan bertujuan menghalang rakyat berhimpun sebagaimana yang disalahtanggapi oleh sesetengah pihak.
"Kamu kena faham, kami kena tahan kamu semalam sebab mendatangkan kecederaan pada polis yang bertugas (siku muka) jaga keamanan dan keselamatan peserta demonstrasi semalam, agar berjalan dengan aman, bukannya nak halang semua berhimpun," katanya.
Beliau menegaskan pindaan Akta Perhimpunan Aman yang akan dibuat di bawah pentadbiran Kerajaan Madani membuktikan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk menjamin hak rakyat berhimpun secara aman.
Dalam pada itu, beliau menyeru peserta himpunan solidariti Global Sumud Flotilla (GSF) untuk terus berhimpun secara aman, sambil menzahirkan penghargaan kepada usaha diplomasi kerajaan dalam memastikan aktivis Malaysia yang ditahan Israel dibebaskan.
"Tolong berhimpun secara aman ya, kita nak bebaskan sahabat sahabat kita, tunjuk signal kita kepada AS, bukannya nak tunjuk hero belasah penjawat awam yang juga Muslim - Melayu. Itu tak kena lah.
"Respect la kat PM kita juga kawan-kawan di Malaysia, pelbagai cara dan usaha dia all out bantu peserta Sumud Global Nusantara. Tahniah PMX, kami bersamamu sokong GSF," tegasnya.
Syam turut mendoakan agar rakan-rakan aktivis yang masih ditahan di luar negara dibebaskan segera, selain menyeru agar demonstrasi yang berlangsung dari Masjid Kampung Baru ke Kedutaan Amerika Syarikat hari ini berjalan aman dan damai.
Comments