Dua koperasi hasrat bangunkan 900 ekar tanah adat di Sarawak
- Redzuan Shamsudin
- Oct 16, 2023
- 2 min read

Dua koperasi di Sarawak berhasrat membangunkan 900 ekar tanah adat.
Menurut Ketua Biro Pertanian KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh (gambar, tiga dari kanan), Koperasi Lubuk Tamang Berhad dan Koperasi Panjap Berhad dalam seminar Pentadbiran dan Pembangunan Tanah Warisan Lubuk Tamang Debak Saribas Betong Berhad yang diadakan semalam, berjanji mencari solusi terbaik bagi mempercepatkan projek yang dirancang di tanah adat tersebut.
"Jawatankuasa Kerja yang ditubuh akan berbincang dengan rakan strategik untuk mendapatkan nasihat kepakaran dan pembinaan infrustruktur.
"Tanah adat seluas kira-kira 900 ekar akan ditanam dengan tanaman pilihan yang dinilai akan mendapat sambutan di pasaran. Pilihan utama (yang dicadangkan) ialah padi," katanya dalam satu kenyataan.
Abang Zulkifli berkata, tiga kertas kerja telah dibentang dalam seminar itu. Antaranya Aspirasi dan Pendekatan Pembangunan Tanah Warisan Lubuk Tamang oleh beliau sendiri yang juga Pengerusi Koperasi Lubuk Tamang Berhad.
Sementara Cikgu Morsihidi Ramli yang merupakan pekebun berjaya telah menyampai ceramah bertajuk "Pertanian Ialah Perniagaan".
Penganjur juga menjemput Ir Mohd Eden Ali, seorang usahawan berjaya yang berasal dari Saribas untuk membentang kertas yang bertajuk "Anjakan Pemikiran Alaf Baru".
Menurut Abang Zulkifli lagi, dengan terbinanya jalan raya yang menghubungi Debak ke Kampung Tuie sepanjang 9.5 km akan memudah lagi perlaksanaan sebarang projek pertanian di kawasan tersebut.
Sementara itu, katanya, dalam ucapan penangguhan seminar tetamu kehormat, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohd Razi Sitam telah melahirkan rasa gembira atas hasrat koperasi mahu membangunkan tanah yang telah di daerah tersebut.
Katanya, Kerajaan sedia menilai bantuan yang perlu dalam melancarkan program, terutama sekali bidang pertanian.
"Beliau gembira kerana program yang akan dilaksanakan oleh Koperasi ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan membangunkan Lubuk Tamang Agro Park di sekitar kawasan yang sama.
"Beliau percaya usaha koperasi itu kelak akan menjadi pemangkin kepada keluaran hasil pertanian di kawasan tersebut dan sudah pasti akan memberi peluang pekerjaan yang menguntungkan rakyat dan pekebun setempat," kata Abang Zulkifli lagi.
コメント